Jumaat, 17 April 2009

IMAM HASAN AL-BANNA : TOKOH DAKWAH ABAD KE 20, SEJARAH DAN JASANYA KEPADA DAKWAH ISLAM

IMAM HASAN AL-BANNA : TOKOH DAKWAH ABAD KE 20, SEJARAH DAN JASANYA KEPADA DAKWAH ISLAM


1.0 INTRODUKSI


Ulama merupakan pewaris para nabi. Nabi Muhammad telah diutuskan oleh Allah SWT bagi menyeru bangsa Arab serta bangsa-bangsa lain untuk mentauhidkan Allah SWT. Tugas suci ini kemudiannya diteruskan oleh para khalifah selepasnya serta para ulama. Kesinambungan proses dakwah ini menunjukkan betapa syariat Islam sebagai satu syariat yang dinamis di samping mampu bergerak seiringan dengan perkembangan masa atau suasana.
Sepanjang masa, para ulama Islam telah membuktikan kemuliaan Islam. Mereka telah menerangkan kepada umat manusia hakikat syariat Islam yang cemerlang, unik, jernih, teguh dan sejati . Mereka menunjukkan dan menjelaskan setiap ajaran Islam dengan tegas dan berani.
Justeru itu, para pendakwah merupakan agen-agen yang penting dalam memastikan agama Allah ini sentiasa teratas dan tiada agama selainnya. Pada kurun ke-20 telah lahir ramai tokoh yang berusaha untuk mendaulatkan agama Allah yang murni ini, diantaranya, Imam al-Syahid Hasan Al-Banna. Beliau memainkan peranan yang penting dalam mengembalikan kegemilangan agama Islam yang mengalami zaman kegelapannya dalam era kejumudan dan taqlid.
Imam al-Syahid Hasan Al-Banna, Mursyid Am al-Ikhwan Al-Muslimun adalah dianggap sebagai mujaddid kurun ke empat belas , sesuai dengan sumbangannya yang amat bernilai dalam dunia gerakan dan dakwah Islamiah. Idea pemikiran dan gagasan-gagasannya menjadi sumber inspirasi dan bahan rujukan generasi selepasnya.

2.0 LATAR BELAKANG KEHIDUPAN

2.1 Kelahiran

Imam Hasan al-Banna dilahirkan pada bulan Oktober tahun 1906 M , di kampung al-Mahmoodiyyah, daerah al-Bahriyyah, kira-kira sembilan puluh batu dari Kaherah. Beliau merupakan anak sulung dari lima orang adik beradik. Bapanya, Ahmad Abdul Rahman al-Banna merupakan seorang ulama dan pengarang yang telah mendapat pelajaran di al-Azhar di zaman Muhammad Abduh di samping menjalankan perniagaan membaiki jam.

2.2 Pendidikan

Imam Hasan al-Banna membesar dalam suasana keilmuan dan kebaikan . Beliau mendapat didikan awal daripada bapanya sendiri. Dalam usahanya menghafaz al-Quran, bapanya telah memberi banyak bantuan. Bapanya juga memberi galakan kepadanya untuk mempelajari ilmu Islam. Tidak lama kemudian beliau dimasukkan ke Madrasah Al-Rasyad Al-Diniyyah. Di sekolah ini beliau berguru dengan seorang ulama yang bernama Muhammad Zahran.
Apabila pengurusan sekolah tersebut bertukar tangan dan pengasasnya Muhammad Zahran melakukan kerja lain, Imam Hasan al-Banna pun berpindah ke sekolah lain, iaitu Madrasah I’dadiyyah. Tahap pengajian di sekolah ini lebih tinggi daripada sekolah rendah. Kerajaan Mesir menghapuskan sistem pengajian I’dadiyyah dan menyerahkannya kepada Kementerian Pendidikan.
Kini cuma ada dua pilihan sahaja bagi Imam Hasan al-Banna. Salah satu daripada pilihan itu ialah memasuki Maahad al-Dini, iaitu sebuah pusat pengajian yang berhubung terus dengan Universiti al-Azhar. Langkah ini membolehkannya menjadi ulama al-Azhar. Pilihan yang satu lagi ialah memasuki Pusat Latihan Guru Damanhur untuk mendapat ijazah perguruan. Imam Hasan al-Banna memilih untuk memasuki Pusat Latihan Perguruan Damanhur.
Selepas tiga tahun berkursus di situ, beliau mendapat pangkat yang pertama di dalam peperiksaan. Selesai sahaja kursus perguruan tersebut, beliau ditawarkan jawatan guru oleh Pejabat Pendidikan Daerah tetapi beliau memilih untuk menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi iaitu ke Universiti Kaherah ( Dar al-Ulum ). Ketika itu beliau berusia 16 tahun. Mengikut peraturan beliau tidak layak memasuki universiti itu dari segi umur, tetapi peraturan itu dilonggarkan kerana bakat dan keilmuannya yang luar biasa itu.
Pada waktu itu, Dar al-Ulum terkenal dengan gelaran al-Azhar kecil. Sebaik sahaja diterima masuk, Imam Hassan al-Banna dan keluarganya berpindah ke Kaherah. Pada bulan Julai 1927M, Imam Hasan al-Banna lulus peperiksaan diplomanya dari Dar al-Ulum dengan mendapat pangkat yang pertama. Setelah beliau menamatkan pengajiannya, beliau terpaksa membuat pilihan sama ada beliau patut mengambil biasiswa luar negeri dan meneruskan pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi ataupun bekerja dengan Kementerian Pendidikan sebagai guru.
Kemudian Dar al-Ulum mengumumkan bahawa biasiswa luar negeri tidak akan ditawarkan kepada mana-mana pelajar kerana negara Mesir sedang mengalami kekurangan guru pada waktu itu. Selepas pengumuman tersebut, beliau tiada pilihan lain melainkan menjadi guru. Apabila mula bertugas sebagai guru di Sekolah Rendah Putera Ismailiah Amiriah, umurnya baru menjangkau 21 tahun. Beliau tinggal di Ismailiah sehingga tahun 1933 M.
Sehingga tahun 1932, ketika menjadi guru di Ismailiah Imam Hasan Al-Banna telah berjaya mendirikan dua bua institut Islam, Maahad Hira’ bagi pelajar putera dan Madrasah al-Ummahat al-Mukminin bagi kaum puteri.



2.3 Perkahwinan Dan Keluarga

Imam Hasan Al-Banna mendirikan rumahtangga dengan Latifah Hussain al-Suli, salah sebuah keluarga terkemuka di Ismailiah. Keluarga isterinya berasal dari kampung Sul dalam kawasan al-Saf bahgian Jizah. Berkat perkahwinannya itu, beliau dikurniakan enam orang cahaya mata, lima perempuan dan seorang lelaki.
Mereka ialah Wafa’, Sina’, raja’, Halah, dan Ahmad saif al-Islam yang baru berusia 14 tahun ketika bapanya gugur syahid. Anak beliau yang bongsu diberi nama Istisyhad. Anak perempuannya ini masih di dalam kandungan ibunya ketika Imam Hasan al-Banna dibunuh.

3.0 GERAKAN DAKWAH IMAM HASAN AL-BANNA


Imam Hasan Al-Banna dilahirkan dalam sebuah masyarakat yang diperintahkan oleh sistem feudal, iaitu sebuah masyarakat yang diselubungi oleh bid’ah dan khurafat, masyarakat yang dalam ketenatan di bawah penjajahan Inggeris yang menghancurkan segala tenaga moral dan material.
Pada tahun 1928, ketika tinggal di Ismailiah, Imam Hasan al-Banna mulai menjalankan kegiatan dakwahnya. Dengan kesedaran terhadap masyarakat yang sedang mengalami berbagai keburukan dan kelemahan sama ada dari segi akhlak, ekonomi, politik dan sebagainya, Imam Hasan al-Banna segera menjalankan kegiatan dakwah di kalangan masyarakat.
Imam Hasan Al-Banna merupakan seorang yang kreatif dalam berdakwah. Beliau menggunakan pelbagai pendekatan. Saluran dakwah yang selalu digunakan adalah ceramah, usrah, majalah, akhbar dan buku. Imam Hasan Al-Banna telah mengadakan satu pembaharuan dalam dakwah, iaitu mengadakan ceramah-ceramah di luar masjid. Ia diadakan di kedai-kedai kopi dan sebagainya. Tempat sedemikian belum pernah diadakan aktiviti dakwah sebelumnya.

3.1 Imam Hasan Al-Banna Sebagai Pendakwah Kecil Di Kampungnya

Allah telah menyemai ke dalam jiwa Imam Hasan Al-Banna kecintaan dan kesungguhan untuk menjalankan usaha dakwah, membawa pembaharuan kepada masyarakat dan melancarkan jihad. Walaupun Imam Hasan Al-Banna menubuhkan Al-Ikhwan Al-muslimun dalam bulan mac 1928, beliau telah menunjukkan ketokohannya semenjak kecil lagi. Mutu peribadinya melambangkan ketokohan yang ada padanya.
Ketika Imam Hasan Al-Banna menuntut di sekolah kampungnya, beliau telah menubuhkan sebuah persatuan Jami’yyat al-Akhlak al-Adabiyyah. Beliau telah dipilih menjadi Yang Dipertuanya. Persatuan tersebut bertujuan memupuk akhlak yang baik di kalangan para penuntut. Walau bagaimanapun beliau tidak berpuashati dengan kegiatan persatuan itu yang terlalu terhad. Lantaran iu beliau menubuhkan persatuan lain di luar sekolah yang diberi nama Jam’iyyat Man’i al-Muharramat.
Persatuan ini berusaha melarang para penduduk daripada terlibat di dalam amalan-amalan yang bertentangan dengan Islam. diantara kegiatan mereka ialah menulis surat kepada orang kampung supaya mengamalkan cara hidup Islam agar mereka bahagia di dunia dan akhirat.

3.2 Berdakwah Di Sekolah Latihan Perguruan Damanhur

Imam Hasan Al-Banna berpeluang melanjutkan pengajiannya ke Sekolah Latihan Perguruan Damanhur. Berkobar di dalam dirinya semangat ingin membawa pembaharuan. Tumpuan pertamanya adalah masjid. Beliau menyusun jadual solat berjamaah di masjid. Di sinilah beliau bertemu para anggota Tariqat Hisafiyyah dan turut menghadiri majlis mereka. Penglibatan ini memberi galakan kepada beliau untuk berusaha menyebar kebaikan dan mencegah kemungkaran. Allah memberi peluang kepada beliau untuk mendalami ilmu rohani.
Imam Hasan Al-Banna berkenalan dengan seorang saudagar ahli sufi, Sheikh Muhammad Abu Syousya. Saudagar ini menjadi kawan rapatnya. Dia membawa Imam Hasan Al-Banna dan rakan-rakan menziarahi tanah perkuburan seminggu sekali untuk mengingatkan mereka kepada mati. Dia menceritakan kepada mereka kisah-kisah orang Islam yang saleh dan warak.
Akhirnya, mereka menubuhkan persatuan yang diberi nama Jam’iyyat al-Hisafiyyat al-Khairiyyah. Persatuan ini mempunyai dua tujuan. Yang pertama ialah mengajak manusia supaya membina akhlak yang mulia dan menjauhkan amalan yang bertentangan dengan Islam. Yang kedua ialah menyekat kegiatan dakyah Kristian yang berusaha menyebarkan agama mereka dengan berlagak sebagai pendidik dan pekerja-pekerja kebajikan masyarakat.
Di Damanhur, tanggungjawab Imam Hasan Al-Banna kian bertambah. Beliau bangun sebelum subuh dan menunaikan solat tahajjud di masjid. Selepas itu beliau akan membangunkan muazzin daripada tidur mereka. Apabila para muazzin ini melaungkan azan Imam Hasan Al-Banna begitu gembira sekali mendengar suara azan yang sayup-sayup memecahkan kesunyian waktu subuh.

3.3 Imam Hassan Al-Banna Di Dar al-Ulum Kaherah

Apabila Imam Hasan Al-Banna memasuki Dar al-Ulum, Kaherah, beliau dapati struktur masyarakat lebih rumit berbanding yang pernah dihadapinya sebelum ini sama ada di Mahmoodiyyah atau di Damanhur. Kaherah merupakan pusat kegiatan politik, pendidikan dan kebudayaan. Keadaan manusia yang berbagai ragam di Kaherah menguatkan cara hidup Islam walaupun terpaksa menghadapi kesukaran yang hebat.
Imam Hasan Al-Banna menganggotai sebuah pertubuhan yang bernama Jam’iyyat al-Makarim al-Akhlak. Inilah satu-satunya pertubuhan yang sanggup menetang kemungkaran dan membawa pembaharuan kepada masyarakat Kaherah. Imam Hasan Al-Banna selalu menghadiri mesyuarat atau perjumpaan yang diadakan oleh pertubuhan tersebut.

3.4 Dakwah Islamiah Di Kedai-Kedai Kopi

Keruntuhan akhlak, kekacauan dan kebudayaan barat telah merebak ke Kaherah. Imam Hasan Al-Banna sedar tentang perkara ini. Beliau berpendapat ceramah dan khutbah di masjid sahaja tidak cukup untuk menyekat kemungkaran yang kian menular itu.
Beliau menubuhkan sebuah pertubuhan yang menggabungkan tenaga para penuntut Dar al-Ulum dan al-Azhar serta menyusun satu rancangan dakwah. Mereka yang terlibat ini menjalankan usaha dakwah Islamiah di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat awam.
Beliau sendiri sebagai ketua pertubuhan tersebut dan dengan bermodalkan ilmu al-Quran dan al-Hadith yang ada padanya telah menyampaikan dakwah-dakwah di kedai kopi. Beliau menasihati para pelanggan yang mengunjungi kedai-kedai itu supaya meninggalkan kegiatan yang sia-sia dan mengajak mereka menunaikan kewajipan agama. Cara dakwahnya ini mendapat tentangan para ulama. Namun begitu usahanya mendapat kejayaan. Bahkan cara dakwah itu telah merebak ke bandar-bandar dan kampung-kampung.
Pertubuhan tersebut telah melantik satu jawatankuasa untuk menguruskan kegiatan dakwah Islamiah. Pertubuhan tersebut memperhebatkan kegiatannya apabila tiba cuti musim panas. Sebaik sahaja cuti musim panas bermula, para anggotanya pun melawat bandar-bandar dan kampung-kampung untuk berdakwah.
Imam Hasan Al-Banna telah mendapat dua keuntungan daripada cara berdakwah tadi. Yang pertama, adalah beliau dapat membina keyakinan diri sendiri dan yang kedua dalah beliau dapat mengkaji sifat dan corak pemikiran orang awam.

3.5 Seruan Kepada Para Ulama Dan Pemimpin

Imam Hasan Al-Banna mendapati gerakannya itu lebih lemah jika dibandingkan dengan gerakan sekular Turki yang mempunyai pengaruh kuat di Mesir. Imam Hasan Al-Banna pun mula merancang untuk melancarkan satu gerakan yang lebih kuat, yang mampu menghadapi kegiatan gerakan-gerakan yang menggugat Islam.
Beliau mendekati para ulama dan mengingatkan mereka kewajipan-kewajipn mereka terhadap Islam. beliau menemui Sheikh Rasyid Ridha dan ulama al-Azhar yang terkenal, Sheikh Yusof al-Dajwi. Dia mengingatkan mereka kepada kewajipan yang perlu mereka lakukan untuk Islam.
Imam Hasan Al-Banna menekankan betapa perlu diterbitkan sebuah majalah Islam yang berkesan untuk membalas serangan daripada kaum atheis yang menentang Islam. Seterusnya beliau menghubungi pemilik syarikat penerbitan al-Maktabah al-Salafiyyah, membuat pengaduan kepada canselor Universiti Al-Azhar dan menghadiri majlis-majlis perjumpaan yang diadakan oleh Farid Wajdi. Mereka ini merupakan orang-orang alim di Mesir. Beliau menemui mereka seorang demi seorang tetapi hasilnya kurang memuaskan.

4.0 PENUBUHAN IKHWAN AL-MUSLIMIN

4.1 Latar Belakang Penubuhan

Gerakan dakwah Imam Hasan Al-Banna telah diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Beliau telah berjaya mengajak orang ramai kembali kepada al-Quran dan menyatupadukan mereka kepada satu ikatan ukhuwwah Islamiah yang padu dalam usaha untuk membina sebuah daulah Islamiah yang menjalankan hukum-hukum Islam dalam segenap bidang sama ada dalam bidang ekonomi, politik dan sebagainya.
Bertitik tolak daripada matlamat tersebut, beliau mengasaskan Jemaah Ikhwan al-Muslimin di rumahnya pada bulan Zu al-Kaedah tahun 1347 H bersamaan bulan Mac 1928 M. Jemaah ini bertujuan membawa pembaharuan Islam kepada kehidupan perseorangan dan masyarakat Ismailiah.
Imam Hasan Al-Banna menggunakan empat pendekatan dalam melaksanakan tugas di Ismailiah. Langkah pertama adalah menjadikan setiap orang perseorangan itu Muslim yang sebenar. Langkah yang kedua adalah mewujudkan keluarga Muslim yang sebenar. Langkah ketiga pula adalah mendirikan sebuah masyarakat Islam yang sebenar dan yang terakhir adalah untuk menegakkan sebuah daulah Islam sejagat di Mesir.

4.2 Kegiatan Ikhwan al-Muslimin

Untuk mencapai cita-cita tersebut, Imam Hasan Al-Banna telah berjaya menubuhkan pelbagai pertubuhan untuk pembangunan ummah dan negara. Beliau menubuhkan beberapa buah syarikat. Antara yang terpenting adalah, Syarikat Muamalah Islamiah, Syarikat Perlombongan, Syarikat Surat khabar Ikhwan, Syarikat Iklan Arabi dan Syarikat Perdagangan dan Kerja-kerja Senibina. Beliau juga membina hospital-hospital dan klinik-klinik di samping mendidik para pemuda dalam berbagai bidang.
Di samping menjalankan kegiatan yang bercorak kebajikan, Jemaah Ikhwan al-Muslimin juga terlibat secara langsung dalam percaturan politik dan berhadapan dengan masalah-masalah dan isu-isu semasa yang dihadapi oleh negara. Dari semasa ke semasa Ikhwan al-Muslimin telah mulai menampakkan kekuatan dan kematangan dalam berpolitik.
Dalam penyusunan ketenteraan, Ikhwan al-Muslimin telah berjaya melatih para pemuda untuk menghadapi serangan zionis di Palestin. Pada bulan April 1948, Ikhwan al-Muslimin telah menghantar tiga batalion tenteranya untuk berperang di Palestin bersama-sama dengan dua belas batalion tentera Mesir.

4.3 Pembubaran Ikhwan al-Muslimin

Kegiatan dan pencapaian Ikhwan al-Muslimin mulai dicurigai oleh pihak pemerintah. Pihak British juga kurang senang dengan pengaruh Ikhwan al-Muslimin. Setelah melihat kekuatan dan kehandalan tentera Ikhwan al-Muslimin dalam peperangan melawan Israel di plestin, negara-negara Barat mendesak kerajaan Mesir supaya membubarkan Jemaah Ikhwan al-Muslimin dengan alasan untuk lebih senang menyelesaikan isu Palestin yang menjadi fokus dunia pada masa tersebut.
Akhirnya sebagai satu helah politik musuh, dalam bulan November 1948, satu genjatan senjata telah diadakan. Ikhwan al-Muslimin sama sekali tidak setuju genjatan senjata tersebut kerana dari segi perhitungan menguntungkan pihak musuh. Demonstrasi telah diadakan yang mana telah menyebabkan Komander Polis Kaherah, Brigadier Jeneral Salim Zaki terbunuh.

Berikutan kejadian itu, pada 8 Disember 1948, Perdana Menteri mengisytiharkan pembubaran Ikhwan al-Muslimin dengan alasan mengancam keselamatan negara. Berikutan itu berbagai pertuduhan telah dilemparkan ke atas anggota Ikhwan al-Muslimin. Anggota Ikhwan al-Muslimin ditangkap dan dipenjara. Harta benda kepunyaan Ikhwan al-Muslimin dirampas dan bangunannya dikawal rapi. Oleh yang demikian Ikhwan al-Muslimin tidak dapat menjalankan kegiatannya.

5.0 PENULISAN IMAM HASAN AL-BANNA

Imam Hasan al-Banna adalah seorang tokoh pembaharuan Islam dan juga seorang pendakwah yang ulung. Imam Hasan al-Banna menghimpunkan sekumpulan orang-orang Islam yang berwibawa serta mempunyai kesanggupan untuk hidup dan mati untuk Islam.
Justeru itu, beliau lebih banyak menumpukan masanya dari sudut praktikal gerakannya. Iaitu dengan memberi latihan akhlak dan rohani kepada para anggota Ikhwan al-Muslimin. Walau bagaimana pun, beliau tetap menghasilkan beberapa penulisan yang penting dan boleh dijadikan rujukan para pejuang Islam. Diantara penulisannya;



5.1 Muzakkirat al-Da’wah Wa al-Daieah

Inilah hasil karyanya yang ulung. Buku ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama menyentuh kehidupan peribadinya dan bahagian kedua pula menyentuh tentang kegiatan Ikhwan al-Muslimin.

5.2 Majmuah Rasail al-Imam al-Syahid

Buku ini adalah himpunan kepada beberapa makalah yang disusunnya pada waktu-waktu tertentu sepanjang hayatnya. Buku ini terbahagi kepada tajuk-tajuk berikut;

5.2.1 Risalat al-Ta’lim

Buku kecil ini mengandungi arahan-arahan yang diberikan kepada orang-orang yang memasuki gerakan Ikhwan al-Muslimin. Ia ditujukan kepada ahli Ikhwan al-Muslimin yang telah berbai’ah. Dalam buku kecil ini dijelaskan sepuluh rukun bai’ah. Seterusnya, ia menerangkan kewajipan ahli-ahli Ikhwan al-Muslimin dai dalam semua bidang kehidupan selepas berbai’ah. Beliau menetapkan peraturan-peraturan yang wajib diikuti dan yang patut ditinggalkan.


5.2.2 Risalat al-Jihad

Makalah ini menerangkan kewajipan, kepentingan dan kelebihan berjihad di samping beliau membawa hujjah atau ayat-ayat yang berkaitan dengan jihad dari al-Quran dan juga Sunnah al-Nabawiyyah. Imam Hasan al-Banna menulis makalah ini ketika para sukarelawan Ikhwan al-Muslimin melancarkan jihad terhadap Yahudi Palestin. Makalah ini merupakan panduan untuk para mujahidin Islam.

5.2.3 Da’watuna Fi Taur Jadid

Makalah ini ditulis ketika gerakan Ikhwan al-Muslimin sedang pesat berkembang dan ramai para belia menganggotainya. Para penentang juga menyatakan keraguan mereka terhadapnya. Imam Hasan al-Banna menjelaskan setiap kecaman yang ditujukan kepada Ikhwan al-Muslimin oleh para penentangnya. Beliau menerangkan bahawa gerakan Ikhwan al-Muslimin ini tidak terhad kepada mana-mana kumpulan tertentu tetapi ia sebenarnya bersifat sejagat dan merangkumi seluruh umat manusia.
Makalah ini juga menerangkan pendapat Ikhwan al-Muslimin tentang fahaman kebangsaan Mesir, fahaman kebangsaan Arab, fahaman orientalis dan fahaman universalis yang sedang melanda Mesir. Di akhir makalah ini Imam Hasan al-Banna menerangkan hasratnya yang ingin membina sebuah masyarakat Islam yang terdiri daripada orang perseorangan Islam dan keluarga-keluarga yang berpegang teguh dengan Islam.

5.2.4 Al-Rasail al-Thalathah

Karya Imam Hasan al-Banna ini terdiri daripada tiga makalah. Tajuk makalah pertama adalah Apakah Tugas Kita. Tajuk yang kedua adalah Ila Ayyi Syaien Nad’u al-Nas . Manakala makalah yang ketiga adalah Nahwa al-Nur .

5.2.5 Baina al-Ams Wa al-Yaum

Makalah ini merupakan yang pertama ditulis oleh Imam Hasan al-Banna. Ianya ditulis sejurus sebelum meletusnya Perang Dunia I. Dalam makalah ini, beliau menerangkan dasar-dasar Islam dan ciri-ciri pembaharuan ummah. Pada peringkat awalnya, beliau membincangkan negara Islam pertama berlandaskan al-Quran dibawah pimpinan Rasulullah sendiri. Berikutnya, beliau menyentuh sebab-sebab kejatuhan umat Islam dan akhirnya beliau menyatakan bahawa Ikhwan al-Muslimin mengajak manusia kepada kesejahteraan yang berkekalan.
5.2.6 Risalat al-Mu’tamar al-Khamis

Makalah ini merupakan syarahan Imam Hasan al-Banna di dalam Muktamar Kelima Ikhwan al-Muslimin. Dalam syarahannya ini, beliau menilai kembali pencapaian Ikhwan al-Muslimin sepanjang sepuluh tahun lepas. Tiga perkara telah dibincangkan
a. Matlamat Ikhwan al-Muslimin dan corak dakwahnya.
b. Dasar-dasar dan cara-cara Ikhwan al-Muslimin.
c. Sikap dan dasar Ikhwan al-Muslimin terhadap berbagai pertubuhan dan dasar fahaman lain di Mesir.

5.2.7 Al-Ikhwan al-Muslimun Tahta Rayat al-Quran

Makalah ini merupakan syarahan Imam Hasan al-Banna pada 4hb April 1939 M, di Perhimpunan Agong Ikhwan al-Muslimin yang diadakan di ibu pejabat Ikhwan di Kaherah. Dalam syarahan ini, matlamat dan tujuan Ikhwan al-Muslimin diterangkan. Beliau juga membincangkan tugas dan kewajipan para belia. Makalah ini juga mengemukakan saranan supaya dilakukan pemberontakan terhadap kuasa-kuasa penjajah yang sedang menghancurkan rakyat Mesir.


5.2.8 Makalah-Makalah Lain

Selain daripada makalah tersebut, terdapat lagi beberapa makalah yang penting iaitu;
a. Fi Mu’tamar Talabat al-Ikhwan al-Muslimin
b. Ila al-Syabab
c. Risalat Mu’tamar al-Sadis
d. Musykilatuna Fi Dhaui al-Nizam al-Islami
e. Nizam al-Usri
f. Al-A’qaid
g. Nizam al-Hukm
h. Al-Nizam al-Iqtisadi dan lain-lain.

5.3 Al-Ma’thurat

Buku ini adalah himpunan doa-doa dan zikir yang disusun oleh Imam Hasan al-Banna sendiri berdasarkan ayat-ayat al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. Ia dibaca beramai-ramai oleh anggota Ikhwan al-Muslimin sebelum solat Maghrib. Ia merupakan pembaharuan ikrar mereka kepada Allah dalam menjalankan jihad dan dakwah Islamiah.
Kebanyakan daripada buku-buku dan makalah hasil penulisan Imam Hasan al-Banna ini telah diterjemhakan ke dalam bahasa asing. Ini termasuklah dalam Bahasa Melayu.


6.0 JASA DAN SUMBANGAN IMAM HASAN AL-BANNA

Imam Hasan al-Banna dilahirkan daripada keluarga miskin di sebuah kampung yang sunyi yang bernama Mahmoodiyyah. Beliau hanya hidup selama 43 tahun. Al-Ikhwan al-Muslimun telah ditubuhkan pada tahun 1928 M di mana dalam masa 20 tahun sahaja, beliau telah berjaya membawa pembaharuan kepada masyarakat Mesir yang sedang mengalami kemerosotan budaya, politik dan agama.
Beliau telah mengembalikan masyarakat Mesir kepada landasan Islam semula. Maka berkumandanglah cogan-cogan kata “ Mencari Keredhaan Allah Matlamat Kami ”, “ Al-Quran Perlembagaan Kami ”, “ Jihad Jalan Kami ”, “ Syahid Cita-Cita Kami ” dan sebagainya. Slogan-slogan ini menjadi aspirasi yang menaikkan semangat juang para pejuang Islam.
Beliau telah berjaya mengasaskan Jemaah Ikhwan al-Muslimin yang telah menggariskan beberapa objektif penting. Terutamanya, membawa pembaharuan Islam terhadap masyarakat kembali kepada al-Quran di samping menyatupadukan mereka kepada satu ikatan ukhuwwah Islamiah yang padu dalam usaha untuk membina sebuah daulah Islamiah yang menjalankan cara hidup Islam yang komprehensif dalam pelbagai bidang.
Bagi membangunkan ekonomi ummah dan negara, Imam Hasan al-Banna banyak menubuhkan syarikat-syarikat di mana beliau menjadi ahli lembaga pengarah kesemua syarikat tersebut. Di antaranya, Syarikat Muamalah Islamiah, Syarikat Perlombongan, Syarikat Surat khabar Ikhwan, Syarikat Iklan Arabi dan Syarikat Perdagangan dan Kerja-kerja Senibina. Manakala bagi meningkatkan taraf kesihatan masyarakat, beliau juga membina hospital-hospital dan klinik-klinik serta kemudahan kebajikan yang lain.
Selain daripada itu, dalam perjuangan politik, beliau berjaya membawa gerakan Ikhwan al-Muslimin terlibat dalam kancah politik negara di samping mengerahkan tenaga anggota Ikhwan al-Muslimin berjihad menentang penjajahan Barat ke atas umat Islam di Palestin.
Dalam proses meningkatkan kefahaman masyarakat pula, Imam Hasan Al-Banna telah berjaya mendirikan dua bua institut pengajian Islam iaitu, Maahad Hira’ bagi pelajar putera dan Madrasah al-Ummahat al-Mukminin bagi kaum puteri. Sekolah dan institusi ilmu didirikan olehnya untuk para remaja dan usrah untuk peringkat dewasa.
Sepuluh tahun pertama daripada usia penubuhan gerakan Ikhwan al-Muslimin merupakan tahun-tahun pengasasan, manakala sepuluh tahun kemudiannya merupakan tahun penyebaran dan perkembangannya di Mesir, negara-negara Arab sekeliling dan negara Islam lainnya. Dalam tempoh yang sesingkat itu, Imam Hasan al-Banna telah berjaya mengangkat kembali martabat Islam dan umatnya khususnya di Mesir dan negara sekeliling.

7.0 PEMBUNUHAN IMAM HASAN AL-BANNA

7.1 Rancangan Pembunuhan

Dengan alasan untuk mengurangkan ketegangan antara al-Ikhwan dan kerajaan, pihak kerajaan menjemput Imam Hasan al-Banna untuk berunding bertempat di Pejabat Jam'iyyah al-Syubban al-Muslimin. Sebenarnya jemputan itu hanyalah sebagai helah yang bertujuan untuk membunuh Imam Hasan al-Banna.
Pada 12 Februari 1949, jam 5 petang, Imam Hasan al-Banna bersama iparnya Abdul Karim Mansur, seorang peguam, suami kepada adik perempuannya berada di pejabat tersebut. Mereka menunggu Menteri Zaki Ali Basya yang dikatakan mewakili kerajaan untuk berunding, tetapi dia tak kunjung tiba. Akhirnya setelah selesai menunaikan solat Isya' mereka memanggil teksi untuk pulang. Ketika baru sahaja menaiki teksi yang dipanggil, dua orang mata gelap menerpa ke arah teksi dan salah seorang daripada mereka terus melepaskan tembakan pistol dan kedua-dua mereka terkena tembakan itu. Iparnya itu tidak dapat bergerak akibat terkena tembakan tersebut.
Imam Hasan al-Banna walaupun terkena tujuh tembakan, beliau masih mampu berjalan masuk semula ke pejabat Jam'iyyah al-Syubban al-Muslimin memanggil ambulans untuk membawa mereka ke hospital. Sampai di hospital Qasra al-'Aini, mereka dikawal rapi oleh Jeneral Muhammad al-Jazzar dan tidak membenarkan sebarang rawatan diberikan kepada Imam Hasan al-Banna. Pada pukul 12.50 tengah malam, Imam Hasan al-Banna menghembuskan nafas yang terakhir akibat tumpahan darah yang banyak.

7.2 Pengurusan Jenazah

Pada pukul satu pagi pihak polis menyampaikan berita kematian kepada ayah Imam Hasan al-Banna dua pilihan :

1. Pihak polis akan menghantarkan jenazah ke rumahnya untuk beliau menjalankan urusan pengkebumian pada jam sembilan pagi tanpa sebarang perhimpunan.
2. Jika tidak menerima tawaran pertama itu, pihak polis sendiri terpaksa membawa jenazah dari hospital ke kubur tanpa beliau melihat jenazah anaknya itu.
Ayah Imam Hasan al-Banna menerima pilihan yang pertama. Sebelum fajar menyinsing, jenazah as-Syahid dibawa ke rumahnya di Hilmiah al-Jadid dengan sebuah kereta yang dikawal rapi oleh polis yang lengkap bersenjata. Di sekitar rumahnya juga terdapat polis dan tentera berkawal dengan rapi. Mereka tidak membenarkan sesiapa pun menghampiri kawasan tersebut. Jenazah al-syahid dibawa masuk ke rumahnya secara tidak ada orang yang melihatnya dan tidak ada yang mengetahui masa ketibaan jenazah al-syahid.
Sheikh Ahmad Abdur Rahman, ayah Imam Hasan al-Banna yang sudah berusia lebih 90 tahun itu dengan penuh kesabaran memandi dan mengkafankan jenazah anaknya yang baru berusia 43 tahun itu seorang diri. Setelah diletakkan ke atas pengusung, beliau memohon pihak polis mencari beberapa orang untuk mengusungnya. Tetapi pihak polis menjawab, biarkanlah orang-orang perempuan tolong mengusungnya.
Polis tidak membenarkan sesiapa datang ke rumah tersebut untuk mengucapkan takziah dan tidak dibenarkan membaca al-Qur'an. Ayah Imam Hasan al-Banna tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Beliau dengan tiga orang perempuan terpaksa mengusung anaknya itu menuju ke Masjid al-Qaisun untuk disembahyangkan.
Pihak polis lebih dahulu telah pergi ke masjid memerintah orang-orang yang ada di situ supaya meninggalkan masjid. Sheikh Ahmad seorang diri menunaikan solat jenazah ke atas anaknya itu. Kemudian mereka meneruskan pengusungannya menuju ke perkuburan untuk disemadikan jenazah al-Syahid.

7.3 Hukuman

Pembunuhan Imam Hasan al-Banna adalah satu perancangan pihak istana dengan arahan Raja Farouk dan Perdana Menterinya Ibrahim Abdul Hadi. Sebab itulah tidak ada sebarang tindakan ke atas penjenayah dan orang yang terlibat. Kes pembunuhan ini walaupun telah dibawa ke mahkamah beberapa kali, tetapi telah ditangguhkan. Pertama kali dibawa pada masa pemerintahan Perdana Menteri Ibrahim Abdul Hadi. Kedua, pada masa pemerintahan Perdana Menteri Husin Sari. Manakala yang ketiga, pada zaman Perdana Menteri Mustafa al-Nahhas Basya.
Pada 23 Julai 1952 satu revolusi telah tercetus. Raja Farouk terpaksa turun dari singgahsananya. Berikutan itu, kes ini dibuka semula. Penjenayah ditangkap dan pada 2 Ogos 1954, mahkamah menjatuhkan hukuman seperti berikut:

1. Koperal Ahmad Husin Jad dikenakan hukuman penjara seumur hidup dengan melakukan kerja-kerja berat.
2. Pemandu kereta, Sarjan-Major Muhammad Mahfuz Muhammad dikenakan hukuman penjara 15 tahun dengan kerja berat.
3. Major Muhammad al-Jazzar dikenakan hukuman satu tahun penjara dengan melakukan kerja-kerja berat

Kemudian setelah hubungan antara Jamal Abdul Nasir dengan al-Ikhwan al-Muslimin semakin bertambah buruk, semua anggota perisik yang tersebut telah dibebaskan oleh Jamal Abdul Nasir sebelum habis tempoh hukuman yang dikenakan. Bertahun-tahun lamanya orang-orang Ikhwan al-Muslimin tertanya-tanya, manakah hukuman yang dikenakan ke atas orang-orang yang bersalah itu ?
Jelas ketidakadilan yang dilakukan oleh pemerintah dalam menangani kes ini.

8.0 PENUTUP

Sesungguhnya Islam pada hari ini memerlukan umat Islam khususnya dari golongan ulama supaya berusaha seluruh tenaga untuk menerangkan hukum-hukum Islam dengan tegas, terus terang dan berani di samping menjadikan Islam sebagai asas kewujudan dan kehidupan mereka.
Secara umumnya, jelas kepada kita Imam Hasan al-Banna – idola dalam gerakan Islam - merupakan seorang pejuang yang gigih dan berani, berjaya menyedarkan masyarakat dengan fikrah dan pendekatan barunya dalam gerakan dakwah dan manhaj tarbiahnya yang syumul.
Sumbangannya sama ada dalam bentuk idea pemikiran, gagasan, penulisan dan sebagainya merupakan khazanah yang tidak ternilai kepada dunia Islam. Kehilangannya sukar di cari ganti dan merupakan satu malapetaka kepada dunia Islam.
Walaupun beliau telah pergi menemui Ilahi, namun idea fikiran dan gerak kerjanya masih menjadi rujukan dan pegangan para pejuang agama Allah demi memastikan agama Allah tetap teratas dan tiada yang lain dapat menandinginya.

BIBLIOGRAFI

1. Abdul Aziz Al-Badri, (Sheikh), (1988), Al-Islam Baina Al-Ulama Wa al-Hukkam, (terj.) Mohd. Tahir Daeng Mengati, Pustaka Aman Press : Kota Bharu.
2. Ab. Aziz Mohd Zain, (Prof. Madya), ( 1997), Pengantar Dakwah Islamiah, Penerbitan UM : Kuala Lumpur.
3. Al-Munjid Fi al-A’lam, (1994), Dar al-Masyriq : Beirut.
4. Ali Abdul Halim Mahmud, (Dr.), (1993), Wasail al-Tarbiyah ‘Inda al-Ikhwan al-Muslimin, Dar al-Wafa’ : Mansourah.
5. Majmu’ah Rasail al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna, (1992), Dar al-Tauzi’ Wa al-Nashr al-Islamiyyah : Kaherah.
6. Mohsin Muhammad, (1987), Man Qatala Hasan al-Banna, Dar al-Syarq : Kaherah.
7. Muhammad Syalabi, ( t.t ), Hasan Al-Banna : Imam Wa al-Qaid, Dar al-Nashr : Kaherah.
8. Fathi Yakan, (Dr.), ( 1987), Beberapa Permasalahan Dakwah dan Pendakwah, (terj.) International Islamic Federation Of Student Organizations, Al-Faisal Printing : Kuwait.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan