Jumaat, 17 April 2009

TAJDID

PENGENALAN

Era kemajuan yang dialami oleh masyarakat Islam oleh dunia kini telah menimbulkan banyak persoalan baru dalam pelbagai aspek atau bidang kehidupan. Ia bukan sahaja mencabar warisan tradisi masyarakat dan agama, tetapi juga nilai hidup kontemporari.

Kemajuan ini telah mengakibatkan perubahan yang ketara dalam banyak perkara sama ada dari segi fizikal atau material dan juga dari segi moral dan spritual. Secara umumnya persoalan baru ini tidak pernah ada pada waktu hukum Islam disimpulkan dalam kitab-kitab fiqh klasik. Ia benar-benar bersifat kontemporari dan juga tidak pernah diketahui oleh para fuqaha terdahulu, malah sesetengahnya mungkin tidak pernah terfikir oleh mereka akan terjadi.

Banyak persoalan semasa yang memerlukan penyelesaian segera. Contohnya dalam bidang perubatan, persoalan tentang pembiakan baka, bank sperma, tabung embrio, persenyawaan in-vitro, pengklonan manusia dan sebagainya. Begitu juga dengan bidang teknologi maklumat, contohnya dalam urusan transaksi e-dagang, penceraian melalui internet dan sebagainya. Persoalan-persoalan yang timbul perlu mendapat perhatian yang sewajarnya dari khayalak sarjana hukum Islam. Mereka perlu menyelesaikan masalah-masalah semasa untuk membuktikan syariah Islam mampu mendepani sebarang cabaran di samping sesuai untuk dilaksanakan seiring dengan perkembangan yang berlaku.

KONSEP PEMBAHARUAN ATAU TAJDID

Perkataan tajdid menurut etimologi berasal daripada perkataan Arab ( tajdid ) yang berakar umbi dari perkataan arab ( jaddada ) yang bereerti membuat sesuatu menjadi baru . Menurut KH. Ahmad Sidiq, tajdid lebih banyak mengandungi erti memulihkan bukan erti mengganti sesuatu yang lain yang baru. Tajdid menurut pengertian yang umum adalah pembaharuan atau modernisasi yang maksudnya pemulihan menjadi seperti semula ketika masih baru.

Sekiranya melihat sejarah pergerakan pembaharuan, dapat disimpulkan pembaharuan itu mengandungi tiga unsur, iaitu;

1. Liberation yang beerti, dalam proses berfikir lebih bersifat pembebasan daripada taksub mazhab, bid’ah dan khurafat.
2. Reformation yang beerti, kembali kepada al-Quran dan al-Hadis.
3. Modernization yang beerti, menyesuaikan dengan suasana baru yang ditimbulkan oleh kemajuan ilmu pengetahuan moden dan teknologi canggih.

Liberation dan reformation dianggap sebagai suatu langkah ke arah modernisasi. Inti pembaharuan adalah fikiran dan gerakan untuk menyesuaikan faham agama Islam dengan perkembangan baru yang ditimbulkan oleh kemajuan ilmu pengetahuan moden dan teknologi canggih.

KONSEP HUKUM

Hukum biasa dihuraikan sebagai khitab Allah yang berkait dengan peruatan mukallaf. Khitab atau mesej ini disampaikan kepada manusia melalui Rasulullah dalam bentuk wayu dan terkandung sepenuhnya dalam al-Quran dan al-Sunnah. Dengan kata lain, hukum Islam ialah ketentuan-ketentuan Allah tentang kehidupan manusia yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah sama ada secara langsung atau tidak langsung . Ianya juga boleh difahami sama ada secara lansung dari nas syarak yang jelas dan khusus tanpa memerlukan ijtihad dalam memehami pengertiannya ynag teoris atau ia hanya boleh difahami dengan realiti dan ijtihad dari para fuqaha’

Dengan mengambilkira konsep hukum ini, maka dapatlah difahami bahawa ia adalah khitab (Misi) Allah yang didatangkan secara langsung atau tidak langsung oleh Allah s.w.t melalui Rasul-Nya berbentuk wahyu yang berkaitan dengan perbuatan orang-orang mukallaf yang terkandung sepenuhnya dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Wahyu ini bersifat muqaddas, mutlaq, komprehensif, alami dan abadi berserta empirikal. Namun begitu, misi yang terkandung dalam wahyu itu sendiri tidak boleh diketahui dengan jelas kecuali melalui kefahaman manusia. Kerana itulah ia hanya merupakan satu tanggungjawab yang eksklusif yang hanya menjadi tanggungjawab seorang mukallaf yang mempunyai pemikiran matang dan sempurna .

Dalam proses memahami misi ini pula ia terbahagi kepada dua tahap pemikiran dan pemahaman iaitu pertama: Kefahaman biasa yang dimiliki oleh semua orang yang waras. Tahap kefahaman inilah yang menjadi asas kepada taklifi iaitu penguatkuasaan hukum ke atas seseorang.

Sementara tahap yang kedua: Kefahaman yang mendalam iaitu yang hanya boleh difahami oleh orang yang mempunyai keupayaan yang tinggi dalam memperdalamkan pemahaman terhadap sesuatu, mereka ini biasanya disebut sebagai fuqaha’ yang mana biasanya kefahaman ini difahami melalui metaliti dan keilmuan fuqaha berkenaan serta pengaruh persekitaran di mana hukum itu difahami . Dengan kata lain, ia tidak semestinya Muqaddas, mutlaq, syumul dan abadi kerana kefahaman (fiqh) yang berperanan dalam memahami hukum itu terdedah kepada perubahan oleh pelbagai sebab yang mempengaruhi coraknya.

Kesimpulannya, konsep pembaharuan hukum bolehlah dirumuskan sebagai usaha unuk melestarikan hukum-hukum yang diijtihadkan oleh fuqaha silam sama ada dengan menggunakan metodologi yang telah direncanakan oleh Rasulullah SAW atau dengan erti kata lain kembali kepada sumber yang primer dalam mengeluarkan hukum berasaskan kepada realiti dan mentaliti semasa .

FUNGSI PEMBAHARUAN

Fungsi pembaharuan boleh dilihat dari dua dimensi, iaitu;

1. Fungsi Konversi iaitu melestarikan dan menjaga nilai-nilai dan ajaran yang benar, mutlak dan universal yang bersumber pada wahyu dan dalil-dalil qat’ie.

2. Fungsi Dinamisasi iaitu mengembangkan dengan daya suai yang selektif terhadap nilai-nilai dan ajaran yang sifatnya relatif dan ijtihad yang bersumber pada dalil-dalil dzanni.

UNSUR-UNSUR HUKUM ISLAM

Hukum Islam terbentuk dari adunan unsur-unsur yang tetap (thabat) dan unsur-unsur yang sentiasa mengalami perubahan (taghayyur). Ia akan bersifat tetap dan tidak berubah pada prinsip asas dan konsepnya, namun sebaliknya akan bersifat anjal dan fleksibel pada cara pemakaian dan pelaksanaanya, kerana pelaksanaannya akan melibatkan masyarakat manusia sebagai makhluk yang dinamis.

Oleh kerana kehidupan manusia dan keperluannya sentiasa mengalami perubahan, kehidupan secara tabi’i maka hukum Islam turut memberi penghormatan terhadap unsur ini dalam membuat kesimpulan hukum. Pengiktirafan terhadap aspek perubahan kehidupan manusia dalam penentuan hukm ini jelas sedikit sekali terbukti dari semangat pensyariatan hukum secara umum.

Dalam hal ini, Islam bertujuan membimbing perubahan itu supaya selaras dengan ajarannya. Yang paling penting ialah untuk memahami bahawa intipati dan intisari dari ajaran al-Quran dan al-Sunnah itu adalah bersifat kekal. Manakala aplikasi dari ajaran itu mungkin berubah oleh perubahan kaedah dan suasana .

SEJARAH KEBEKUAN HUKUM ISLAM

Kejatuhan Baghdad pada 1258 H, bukan sahaja menyebabkan penyakit taqlid bertambah merebak, bahkan lebih parah lagi ialah para ulama terpaksa menutup pintu ijtihad memandangkan suasana yang serba tertekan itu. Sejak itu pemikiran fiqh sudah tidak menunjukkan sebarang kemajuan, sungguhpun banyak kitab yang dihasilkan.

Jika dikaji pemikiran ilmu fiqh pada zaman kegelapan ini, terdapat tiga ciri utama. Pertama, karya-karya yang dihasilkanhanya berupa syarah, hasyiah atau hamisy. Keduanya, sungguhpun karya-karya ini bertujuan untuk mentafsir dan memudahkan kefahaman terhadap matannya, namun yang berlaku bukanlah ia lebih mudah difahami tetapi bertaambah sulit dan rumit. Ciri yang ketiga, karya yang tidak mencaantumkan dalil daripada al-Quran dan hadis kecuali ktab-kitab Hanafiah sahaja.

Peristiwa ini terjadi setelah para fuqaha dari kalangan sunnah secara bersama-sama menyetujui ditutupnya pintu ijtihad dan merasa cukup dengan empat buah mazhab sunnah yang ada, iaitu mazhab Hanafi, Malik, Syafie dan Hanbali. Sebagai akibatnya pemikiran Islam mati sama sekali. Sikap-sikap ikut-ikutan (taqlid) dan kejumudan berfikir di bidang hukum dan studi keIslaman yang lainnya berkembang di kalangan kaum Muslimin .

Barangkali sangat keterlaluan dan tidak realistik adanya pengakuan dari beberapa pihak bahawa seluruh masalah yang dihadapi oleh kita pada masa ini telah terdapat jawapan lengkap di dalam kitab fiqh klasik. Kerana setiap zaman, sejarah manusia dengan pelbagai fenomenanya pasti memiliki masalah, realiti dan keperluannya sendiri.

PRINSIP-PRINSIP DALAM PEMBAHARUAN HUKUM

Kemusnahan yang telah dilakukan oleh orang kafir terhadap umat Islam pada abad ke-6 dan ke-7 Hijrah, penaklukan kaum Tartar dari Timur dan tentera perang Salib dari Barat, menyebabkan para pemimpin Islam kehilangan semangat dan keyakinan diri sendiri. Memikirkan dunia mereka bagai terserah untuk kemusnahan lantas mereka menjadi terlalu konservatif dan mencari jalan untuk menjaga identiti mereka serta harta yang tidak ternilai harganya iaitu Islam. Caranya ialah dengan menentukan segala pengubahsuaian dan mentaati secara yang tegas kepada syariah.

Syariah Islam telah diturunkan ke dunia 14 abad lampau. Walaupun syariah Islam mempunyai ciri-ciri yang kekal abadi dalam perkara-perkara fundamental ataupun usul, namun dalam masalah cabang atau furu’ ia dapat menerima perubahan-perubahan sejajar dengan perubahan dan perkembangan masyarakat. Segala perkembangan yang berlaku perlu diikutsertakan dalam rangka mengistinbatkan hukum.

Hukum-hukum senantiasa mencari persesuaian dengan pola-pola masyarakat yang berubah-ubah. Hukum yang berlaku di kalangan bangsa-bangsa Arab tidak dapat diterapkan pada bangsa Eskimo , demikian juga hukum-hukum tersebut tidak boleh sepenuhnya bersesuaian dengan mentaliti dan realiti masyarakat Malaysia. Tidak ada satupun masyarakat yang statik kecuali masyarakat yang telah mati dan tidak mempunyai daya hidup lagi. Hukum-hukum juga tidak pernah statik. Dengan permesyuaratan kita mencurahkan perhatian terhadap arus tuntutan masyarakat untuk diciptakan suatu undang-undang dasar dan kegiatan pembentukan hukum ini berusaha mengatur sikap dan tindakan-tindakan kita dalam hidup bermasyarakat.

Tidak ada istilah kebekuan dan kelembapan dalam Islam. Ramai yang menuduh bahawa kebekuan yang terdapat dalam bidang hukum terbit dari agama kita yang jumud yang telah ketinggalan zaman dan tidak dapat menyesuaikan dirinya dengan kemajuan dan tamadun baru.

Islam adalah syariah Allah yang kekal abadi. Syariah Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan sama ada aqidah, ibadah, kemasyarakatan, ekonomi, politik dan hukuman Syariah Islam telah menetapkan usul bagi segala bagi segala hukum di dalam masalah kekeluargaan, muamalah dan hukuman. Daripada usul-usul yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah ini, para fuqaha Islam telah mewujudkan hukum-hukum furu’ ( cabang ) yang sentiasa berubah dengan berubahnya peristiwa pada setiap zaman. Dari sinilah terbinanya fiqh Islam yang amat luas.

Ciri-ciri syariat Islam yang komprehensif (syumuliyyah) , elastis atau anjal (murunah) dan sebagainya menjadi asas yang sesuai kepada penggunaan sumber-sumber fiqh Islam. Ini termasuklah, penggunaan kaedah siasah syar’iyyah ( polisi kerajaan ), masalih al-mursalah, sad al-dharai’, istihsan, adat atau uruf dan pelbagai sumber-sumber yang tidak disepakati oleh para fuqaha.

Perubahan hukum adalah untuk menjaga masalahah umat manusia. Manusia dilantik oleh Allah s.w.t. sebagai penguasa dan pentadbir dunia. Mereka diberi tugas untuk memaju dan memakmurkan dunia. Kalau keadaan di dunia berubah dan hukumnya tetap satatik serta tidak dapat memenuhi tuntutan kemajuan, ini adalah bercanggah dengan asas perundangan Islam yang meletakkan Islam itu mudah dan tidak membebankan serta sesuai dengan setiap zaman dan tempat. Begitu juga tidak selaras denga maqasid am syariah yang mementingkan maslahah manusia .

AKAL DAN PEMBAHARUAN HUKUM

Sumber hukum ketiga selepas al-Quran dan al-Sunnah adalah akal fikiran. Akal adalah kunci untuk memahami ajaran dan hukum Islam. kita tidak akan dapat memahami hukum Islam tanpa mempergunakan akal. Oleh kerana itu, nabi Muhammad menyatakan dengan jelas hubungkait agama dengan akal. Tidak ada agama bagi orang yang tidak berakal. Begitu juga dengan hukum. Tidak ada hukum atau hukuman bagi orang yang gila.

Akal adalah ciptaan Allah untuk menyempurnakan sesuatu. Kemajuan umat manusia dapat diwujudkan kerana manusia mempergunakan akalnya. Namun posisi dan peranan akal dalam ajaran Islam perlu ditegaskan ia tidak dapat bergerak tanpa petunjuk dan tidak dapat bergerak tanpa petunjuk. Petunjuk itu merupakan wahyu Allah SWT yang berupa al-Quran dan al-Sunnah. Ini bererti hukum yang dihasilkan oleh akal pemikiran manusia tidak boleh bertentangan dengan wahyu Ilahi. Walau bagaimanapun untuk berfungsi sebagai peraturan yang mengikat, wahyu-wahyu ini memerlukan kefahaman manusia dalam menanggapi dan mentafsirkan maksudnya.

Keunikan hubungan diantara wahyu dan akal inilah menjadikan hukum Islam dinamis dan mampu mengisi ruang-ruang kosong dalam perbendaharaan fiqh seiring dengan perkembangan ilmu dan nilai intelektual serta perkembangan masyarakat di samping perubahan zaman. Kombinasi diantara wahyu dan akal menjadi asas dalam menghasilkan hukum.

FAKTOR PEMBAHARUAN HUKUM

1. Dinamisme Masyarakat

Masyarakat merangkumi di dalamnya individu atau kelompok manusia yang berinteraksi antara satu sama lain, berkongsi satu kebudayaan yang sama dalam satu kawasan yang tertentu dan mereka berasa bersatu di dalam kumpulan dan melihat diri mereka berlainan daripada orang dan kumpulan lain manusia .

Kehidupan manusia di dunia sentiasa terdedah kepada pelbagai masalah hidup. Sifat masyarakat manusia memang berubah. Perubahan itu berlaku natijah daripada perkembangan budaya manusia itu sendiri. Masyarakat berkembang dan berubah selari dengan perkembangan dan pencapaian ilmu pengetahuan oleh anggota sesebuah masyarakat.

Pada masa ini perubahan-perubahan berlaku cukup luar biasa dalam kehidupan politik, sosial, ekonomi dan budaya masyarakat apalagi selepas berlakunya Revolusi Industri. Syariat Islam itu cukup lengkap dan dapat memenuhi segala keperluan umat baik mengenai tatatertib peribadatan, tatatertib perseorangan, kesopanan kemasyarakatan, perekonomian, peperangan, politik dan lain-lain.

2. Perkembangan Sains Dan Teknologi

Walaupun teknologi sering dikaitkan dengan sains, dan dikatakan terhasil daripada sains, hakikatnya, teknologi jauh berkembang lebih awal daripada sains kerana manusia yang perlu hidup sejak purbakala, mencipta berbagai-bagai teknologi mudah untuk kehidupan mereka sehari-hari. Namun perkembangan teknologi sepatutnya terkekang dengan syariah dan terlaksana dengan adil.

Kedatangan Islam itu telah membawa banyak perubahan besar dalam kehidupan orang Melayu. Satu perubahan budaya yang besar iaitu Islam telah memperkenalkan kepada mereka budaya ilmu, budaya menulis, budaya berfikir dan budaya beradab sopan dalam hidup.

Setiap kali berlakunya perkembangan ilmu dan penemuan baru mengenai fenomena alam contohnya, ia akan memberi kesan kepada sesuatu hukum dan keadaan. Apabila hal yang sedemikian tu berlaku maka ia menuntut untuk dilakukan penyemakan semula terhadap sesuatu pendapat dan pentafsiran yang telah dipegangi sebelum berlakunya penemuan baru dalam ilmu pengetahuan yang mengubah sesustu fakta lama dan penafsirannya. Oleh yang demikian, keperluan untuk menilai semula terhadap beberapa pendapat lama yang menjadi pegangan sesuatu golongan umat manusia merupakan sesuatu kepastian yang tidak dapat dielakkan.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan dalam bukunya, bahawa abad ini adalah abad sains dan teknologi. Kebebasan hak asasi dan kemedekaan bansa-bangsa dunia. Iaitu di mana satu zaman yang dipersiapkan sepenuhnya untuk memikiul cabaran masa hadapan dan tidak hanya puas dengan kejayaan yang diraih pada masa kini atau keberhasilan pada masa lampau .

3. Perubahan Masa, Keadaan dan Tempat

Aplikasi syariah Islam dalam sejarah membuktikan kemungkinan boleh dilakukan pembaharuan hukum berdasarkan berlakunya perubahan masa dan tempat. Adalah diakui bahawa pandangan para fuqaha zaman keemasan merupakan kemuncak pemikiran hukum Islam yang tinggi nilainya. Namun ketinggian itu tidak boleh menjadi alas an untuk mengekalkannya sebagai kemuncak bagi setiap zaman dan dalam semua keadaan. Apa pun juga nilainya, pandangan dan fatwa mereka masih terikat dengan hakikat sebagai hasil pemikiran manusia yang tertakluk kepada pengaruh masa dan tempat.

Sekiranya kita melihat sejarah pembinaan hukum Islam, pengaruh tempatan merujuk kepada Hijaz dan Iraq sahaja. Kedua-dua ini menjadi gelanggang kepada pembinaan dan perkembangan aliran fiqh yang berbeza. Aliran Hijaz merujuk kepada golongan ahl al-hadith wa al-athar manakala aliran Iraq merujuk kepada aliran al-ra’y. begitu juga metodologi hukum Imam Shafi’I yang berbeza apabila beliau berhijrah ke Mesir di mana ia mencetuskan qaul qadim yang merujuk hukumnya di Iraq dan qaul jadid yang merujuk pendapatnya ketika di Mesir. Ini dengan jelas menunjukkan pengaruh perubahan realiti masa, tempat dan keadaan. Ini berdasarkan satu kaedah dalam qawaid fiqhiyyah :

Hukum fiqh berubah akibat perubahan masa, tempat dan suasana.

Justeru, tidak mustahil untuk melakukan perubahan hukum berasaskan perubahan unsur-unsur tersebut demi menjamin kemaslahatan manusia.

PENDEKATAN DALAM PEMBAHARUAN HUKUM
pendedahan mengikut tahap pemikiran semasa
pendedahan ini perlu ada satu pembaharuan di mana pembahagiannya, penghuraiannya, penyusunannya dan keutamaan tajuk yang dibincang mengikuti kebiasaan yang berlaku dikalangan masyarakat.

memahami sosiobudaya masyarakat.

Sosio budaya masyarakat perlu difahami supaya membolehkan kita membuat perubahan dalam masyarakat dan mengenalinya. Kesediaan dan tindakan masyarakat untuk menerima gagasan fiqh semasa ini. Pendekatan yang boleh digunakan adalah melayani hati masyarakat dengan menerima yang baik dan menolak yang mungkar.

pembinaan intelektual

bagi melahirkan golongan yang yang mampu berijtihad dan melaksanakannya, asas utama adalah perlu memahami usul yang menjadi asas kepada pembinaan hukum-hukum sama ada yang disepakati oleh imam-imam mazhab atau yang diperselisihkan mereka.

3.4 Pendedahan konsep ijtihad

Pendedahan konsep ini amat perlu pada masa kini ekoran perkembangan yang pesat telah berlaku dalam berbagai bidang di mana ianya memerlukan penilaian hukum semasa.

KESIMPULAN

Persoalan-persoalan yang timbul perlu mendapat perhatian yang sewajarnya dari khayalak sarjana hukum Islam. Mereka perlu menyelesaikan masalah-masalah semasa untuk membuktikan syariah Islam mampu mendepani sebarang cabaran di samping sesuai untuk dilaksanakan seiring dengan perkembangan yang berlaku.

Peranan ijtihad masa kini dan akan datang adalah untuk menggerakkan kembali fiqh dan mentafsirkannya selaras dengan perkembangan dunia masa kini sepertimana ia tumbuh pada peringkat awal dahulu. Hanya dengan cara demikian sahaja fiqh Islam mampu menyahut cabaran masa dan mendahului segala perkembangan yang berlaku dalam zaman moden. Sekurang-kurangnya mampu mengiringi bukan mengekori tuntutan semasa. Dinamika ijtihad itu perlu dijana semula bagi membuktikan kesesuaian Islam untuk menghadapi cabaran zaman dan tempat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan