Jumaat, 17 April 2009

PENDIDIKAN ISLAM DI KELANTAN

SENARAI KANDUNGAN

PERKARA HALAMAN
Pendahuluan 3
Pendidikan Islam Peringkat Awal 3
Kemunculan Sistem Pendidikan Pondok 6
a. Perkembangan Pendidikan Pondok
Pada Awal Abad Ke-20 7

Sistem Pengajian Pondok 9
a. syarat kemasukan 9
b. waktu belajar 10
c. kaedah pengajaran dan pembelajaran 10

Sistem Madrasah 13
Maahad Tahfiz Al-Qur’an 18
Institusi Pengajian Tinggi 18
Yayasan Kelantan Darul Naim ( YAKIN ) 19
Kemajuan Pembangunan Pendidikan Islam Tahun 1990-2000 20
a. Tumpuan Dan Perhatian Yang Mendalam Terhadap
Perkembangan Pembangunan Pendidikan Islam. 20
b. Peningkatan Mutu Pendidikan 21
c. Mewujudkan Pelbagai Aliran Pendidikan Di Sekolah
Menengah Agama 22
d. Penaiktarafan Perjawatan Guru 23
e. Pembangunan Pengajian Pondok 24
f. Pembangunan Taman Pendidikan Kanak-Kanak 25

Kesimpulan 26
Bibliografi 27

PENDIDIKAN ISLAM DI KELANTAN

PENDAHULUAN

Kelantan adalah sebuah negeri yang terletak di Pantai timur Semenanjung Malaysia. Ia bersempadan dengan Laut China Selatan, Negeri Terengganu, Pahang, Perak dan selatan Negeri Thai. Luasnya ialah 14 929 kilometer persegi. Penduduknya berjumlah 888 831 orang. Majoriti penduduknya adalah Melayu, iaitu 92.9 peratus, Cina 5.4 peratus, India 0.7 peratus dan lain-lain kaum 0.1 peratus.
Dalam bidang pendidikan, Kelantan dikenali sebagai Serambi Mekah kerana ia merupakan negeri yang menjadi tumpuan pelajar-pelajar di rantau Asia Tenggara untuk mempelajari ilmu-ilmu agama sebelum mereka pergi ke Mekah untuk mendalaminya.

PENDIDIKAN ISLAM PERINGKAT AWAL

Mengikut sebahagian ahli sejarah, perkembangan pendidikan Islam di negeri Kelantan bermula sejak kedatangan Islam ke negeri ini. Artifak Islam terawal yang pernah ditemui di Kelantan iaitu Dinar Julus Al-Kelantani yang bertarikh 557H, ditemui di Kota Kubang Labu, Pasir Pekan dan Padang Hangus, Ketereh. Diyakini bahawa apabila datangnya Islam di negeri Kelantan, ia dibawa bersama dengan sistem pendidikan Islam.

Menurut Abdullah Alwi, pendidikan Islam berkembang di Kelantan seawal-awalnya pada abad ke 18. Orang paling awal menyampaikan pendidikan Islam di Kelantan ialah Tuan Syeikh Haji Abdul Halim. Beliau memulakan pengajaranya di Kelantan pada akhir abad ke-18 setelah menamatkan pelajarannya di Mekah. Beliau telah menyampaikan pengajarannya di Istana dan di surau-surau untuk anak-anak raja, anak-anak pembesar dan orang ramai.
Oleh kerana tidak ada kitab-kitab yang dicetak, Syeikh Halim telah menyampaikan pengajarannya secara lisan. Kitab-kitab yang digunakannya ialah kitab jawi tulisan tangan dan kitab Arab. Kitab-kitab tersebut adalah kitab-kitab yang dibawa pulang dari Mekah yang sebahagiannya adalah hasil salinan dan tulisannya sendiri.
Semasa pemerintahan Sultan Muhammad I ( 1800-1837M ) beliau telah dilantik sebagai penasihat kepada sultan. Di atas nasihat beliau, baginda telah mengadakan pelbagai usaha untuk kebajikan umat Islam di dalam dan di luar Kelantan. Orang ramai telah digalakkan mendirikan surau, madrasah dan wakaf sebagai tempat persinggahan dan tempat ibadat. Tujuannya adalah untuk kemudahan bagi musafir-musafir dan petani-petani yang tidak sempat pulang atau sebagai tempat berhenti rehat buat sementara sambil menunaikan sembahyang.
Setelah kematian Syekh Halim, anaknya Haji Yaakub telah menggantikan beliau sebagai tokoh ulama dan guru agama yang terkemuka. Sebagaimana bapanya, Hj. Yaakub juga memulakan pengajarannya sekembalinya dari Mekah. Corak pengajarannya tidaklah berbeza, cuma pengajarannya diperluaskan lagi dimana setiap umat Islam lelaki dan perempuan digalakkan supaya datang mengikuti pengajarannya.
Hj. Yaakub lebih menekankan pengajarannya di surau dan masa pengajarannya dilakukan sepanjang hari iaitu pada waktu pagi, petang dan malam. Golongan lelaki dan perempuan diasingkan dengan tabir. Pengajarannya tidaklah dihadkan kepada ajaran agama sahaja tetapi meliputi soal adat istiadat serta kesopanan yang sepatutnya.
Surau tempat beliau mengajar didirikan di Pasar Lama. Ia didirikan dua tingkat. Bahagian bawah dijadikan tempat mengajar dan tempat berjemaah manakala bahagian atasnya dikhaskan untuk tempat menginap murid-murid yang datang dari jauh dan juga sebagai tempat persinggahan musafir.
Hj. Yaakub telah menyampaikan pelajaran kepada murid-muridnya menerusi cara lisan dan bertulis. Pada peringkat pertama pelajar diajar nahu dan saraf. Beliau memberi latihan bertulis dan kemudian disuruh murid-muridnya menghafal. Apabila di dapati murid-muridnya mahir, mereka akan diajar pelajaran lain yang berkaitan dengan agama Islam seperti Fikah, Tauhid, Tasawwuf, Mantik, Tafsir dan sebagainya.
Oleh kerana terkenal sebagai ahli ilmu yang ulung, Hj. Yaakub telah dilantik menjadi penasihat kepada Sultan Muhammad II ( 1839-1886M ). Pada masa ini pembaharuan dalam pemerintah telah dilakukan. Sebarang hukuman yang dilakukan hendaklah didasarkan kepada hukum syarak. Hukum rejam dikatakan pernah dilaksanakan oleh Hj. Yaakub terhadap mereka yang melakukan penzinaan.
Setelah kematian Hj. Yaakub, usaha penyebaran pendidikan Islam di Kelantan kemudiannya telah diteruskan pula oleh dua orang anak saudaranya iaitu Hj. Ahmad Hj. Yusuf dan Hj. Osman serta murid-murid beliau yang lain. Seterusnya peranan tersebut telah dimainkan oleh ramai alim ulama yang lain
Pada tahun 1899M, Tuan Guru Hj. Taib telah melakukan perubahan yang besar terhadap kehidupan sosial orang Kelantan. Beliau telah menasihati Sultan Mansur supaya menitahkan rakyat Kelantan mengenakan pakaian yang digalakkan oleh agama. Orang lelaki dikehendaki memakai kain sarung dan berbaju teluk belanga menggantikan pakaian yang biasa dipakai iaitu bersarung tanpa berbaju, bertengkolok, berkeris dengan pinggang diikat dengan kain lepas. Manakala orang perempuan pula dikehendaki memakai kain sarung dan berbaju kurung serta bertudung menggantikan pakaian biasa yang dipakai iaitu bersarung dan berkemban.
Boleh dikatakan keseluruhan pemerintah Kelantan merupakan pemerintah yang memberi perhatian serius kepada soal-soal agama. Ini kerana mereka sendiri disemaikan semangat agama sejak kecil lagi. Keutamaan sering diberikan kepada setiap alim ulama untuk mengajar agama diistana. Pendidikan agama juga disalurkan dengan teratur dan disampaikan untuk setiap lapisan masyarakat tanpa mengira pangkat.

KEMUNCULAN SISTEM PENDIDIKAN PONDOK

Kesedaran tentang bertapa pentingnya ilmu agama begitu subur dalam kehidupan masyarakat Kelantan. Pertambahan bilangan penuntut yang datang dari dekat dan jauh telah menyebabkan kemunculan sistem pendidikan pondok. Pondok-pondok didirikan di sekitar masjid berhampiran dengan rumah tok guru. Tapak pondok kebiasaannya diwakafkan oleh tuk guru atau orang perseorangan.
Pondok pertama yang didirikan di Kelantan ialah pada tahun 1820M oleh Tuan Guru Hj. Abd. Samad bin Abdullah. Beliau lebih dikenali sebagai Tok Pulai Chondong dan mendapat didikan awal di Pattani.. Kemudiannya beliau melanjutkan pelajaran ke Mekah.
Tok Pulai Chondong telah menjadi pelupur di dalam memperkenalkan sistem pendidikan yang bercorak pondok di Kelantan. Beliau telah mewakafkan tanahnya untuk dijadikan tempat murid-muridnya mendirikan pondok. Seterusnya beliau telah mendirikan sebuah masjid untuk dijadikan tempat pengajaran.
Melalui sistem ini, bilangan pelajar yang datang belajar dengan Tok Pulai Chondong telah bertambah sehingga terdapat mereka yang datang dari Kampar, Sumatera, Pattani dan sebagainya. Bilangannya semakin bertambah ramai ketika puteranya Hj. Muhammad Arshad menyanmbung tugasnya sebagai guru agama di situ. Pada tahun 1880 pelajarnya telah meningkat kepada hampir 500 orang. Antara muridnya yang terkenal ialah ialah Tok Kemuning yang kemudiannya telah membuka pondoknya di Kemuning Machang.

a. Perkembangan Pendidikan Pondok Pada Awal Abad Ke-20

Sistem pendidikan tradisional telah menuju zaman gemilangnya pada awal abad ke-20. Keadaan ini wujud adalah hasil pengajaran ulama terdahulu yang telah berjaya melahirkan murid-murid yang berkebolehan dan berjaya menanamkan sikap cintakan agama di kalangan masyarakat Kelantan. Ia diikuti pula oleh terjemahan dan karangan kitab-kitab agama oleh guru-guru yang berdedikasi.
Pada abad ini kepesatan perkembangan pondok di Kelantan telah meliputi daerah-daerah Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas, Machang, Kuala Krai dan Bachok. Guru yang mengajar dan membuka pondok di tempat-tempat tersebut terdiri dari ulama-ulama terbilang.
Di kampung Selehor, Tumpat sebuah penempatan pondok telah didirikan oleh Tuan Guru Syeikh Abdul Rahman bin Uthman. Beliau juga terkenal dengan nama Tok Selehor. Beliau adalah anak tempatan Selehor dan mendapat didikan di Pattani dan Mekkah. Beliau merupakan pengarang dan penterjemah. Semasa di Mekah, beliau telah mengarang dan mencetak kitabnya yang berjudul Kanzul Sa’adah fi Bayani Istilahat as-Sufiyian. Kitab ini telah digunakan untuk menyampaikan pelajaran agama di pondoknya di samping kitab-kitab al-Manhalu a-Safi, Sharh Hikam Ibn Ata’iLlah, Hikam Abi Madyan dan al-Durru an-Nafis.
Seterusnya sebuah pondok lagi telah dibuka di Kampung Sungai Keladi. Haji Omar Ismail Nuruddin al-Kelantani atau dikenali sebagai Hj. Omar Sungai Keladi adalah ulama yang bertanggungjawab membuka pondok tersebut. Beliau bukan sahaja ahli dalam ilmu falak bahkan alim juga dalam ilmu bahasa. Beliau dapat menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Arab dengan baik.
Di Padang Jelapang, Pasir Mas, Tuan Guru Hj. Ahmad telah membuka pondoknya setelah tamat pengajiannya di Makkah. Di Bachok pula, sebuah pondok telah dibuka oleh Tuan Guru Hj,. Mohd Salleh. Perkembangan pondok telah menjadi semakin dinamis dengan kembalinya Hj. Mohd Yusof Ahmad atau tok Kenali di Kelantan pada tahun 1908M.
Kemunculan pondok-pondok tersebut telah melahirkan begitu ramai pelajar yang berkebolehan. Mereka kemudiannya telah mengikut jejak langkah guru-guru mereka di dalam meneruskan kegiatan pendidikan Islam. Selepas tahun 1930 semakin banyak pondok didirikan. Antaranya pondok Bunut Payong (1913), Pondok Terusan Pasir Tumbuh, Pondok Lubuk Tapah (1932), Pondok Sungai Durian, Pondok Kolam, Pondok Bukit Abal dan sebagainya.
Institusi pondok telah mengalami kemerosotan dan menerima perubahan selepas Perang Dunia Kedua. Akibatnya pondok yang bersistem umumi bertukar menjadi nizami. Seterusnya satu demi satu pondok yang bersistem umumi terpaksa ditutup. Hanya beberapa pondok sahaja yang masih mempertahankan identiti pengajiannya hingga sekarang, antaranya pondok Pasir Tumbuh, Pondok Sungai Durian, Pondok Lubuk Tapah, dan Pondok Bunut Payung.

SISTEM PENGAJIAN PONDOK
a. Syarat Kemasukan

Sistem pengajian pondok tidak mengenakan sebarang syarat kepada mereka yang ingin belajar. Setiap pelajar tidak dihadkan peringkat umur untuk memasuki institusi ini asalkan dapat membaca al-Quran serta menulis Jawi.
Institusi ini juga tidak mengenakan sebarang bayaran sama ada secara bulanan atau tahunan. Sebaggai membalas kihidmat sukarela guru, pelajar seringkali menyumbang tenaga dalam kerja gotong-royong seperti mengangkut air, membersih kawasan pondok, dan surau di samping menolong kerja-kerja guru seperti membelah kayu api, mengisar padi, menuai padi dan kerja-kerja lain.

b. Waktu Belajar

Jadual waktu pengajian pondok mengambil masa yang panjang, iaitu bermula selepas sembahyang Subuh sehingga ke malam. Tempoh pengajian biasanya ditetapkan selama dua jam selepas tiap-tiap waktu sembahyang subuh, zohor dan isyak.
Jadual waktu ini biasanya disusun mengikut ingatan Tuan Guru berdasarkan masa dan mata pelajarannya. Lazimnya pelajaran yang ditetapkan selepas sembahyang subuh ialah pelajaran Usuluddin dan selapas waktu Duha pula ialah pelajaran Nahu, Saraf, Tafsir, Hadith, Usul Fiqh, Mantik, Balaghah dan sebagainya. Biasanya pada malam minggu pelajar mempelajari Bezanji, Burdah, Marhaban dan sebagainya.
Struktur pengajian pondok tidaklah memperuntukan supaya semua pelajar dapat mengikuti jadual pelajaran yang sama, tetapi terpulang pada diri masing-masing mengikut taraf dan kebolehan memilih pelajaran.

c. Kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran

Melalui sistem pondok, terdapat tiga kaedah yang digunapakai dalam pengajaran dan pembelajarannya. Kaedah tesebut ialah :
i. Syarahan (Kuliah)
ii. Hafalan
iii. Halaqah

i. Syarahan

Kaedah syarahan biasanya dilakukan menerusi bacaan kitab iaitu sesebuah kitab dibaca dijelaskan dan dihuraikan dari kulit ke kulit. Sehubungan dengan itu ditegaskan :
“Di dalam pengajaran tradisi guru membaca kitab dan mensyarahkannya solah-olah memberi kuliah. Pelajar-pelajar mencatat keterangan yang difikirkan penting. Catatan dibuat di tepi kitab masing masing. Sebarang kemusykilan akan dibincangkan dalam satu kumpulan di bawah pengendalian Kepala Tala’ah atau pembantu guru”

Selain itu, di sesetengah pondok, pengajaran yang di sampaikan oleh Tuan Guru dilakukan dengan membaca kitab. Kadangkala, Tuan Guru sendiri yang membacanya dan menghuraikannya. Kadang-kadang pula ditetapkan seorang pelajar atau setiap pelajar secara bergilir-gilir membacanya dari satu baris ke satu baris kemudian tuan guru akan menghuraikannya dan mensyarahkannya.
Biasanya tempoh menadah kitab ialah di antara 30 minit hingga satu jam. Tuan Guru akan menggunakan sepenuh masa memberi kuliah tanpa memberi ruang dan masa untuk bersoal jawab. Kadangkala apabila sebuah kitab habis dibaca, tuan guru akan mengulanginya semula untuk kali kedua. Walaubagaimanapun ia bergantung kepada permintaan pelajar. Apabila sesebuah kitab berjaya dihabiskan, ini menunjukkan bahawa para pelajar telah mencapai peningkatan dalam pengajian mereka.

ii. Hafalan

Selain kaedah syarahan, Tuan Guru pondok juga menggunakan kaedah hafalan. Kaedah ini biasanya dilakukan bagi menghafaz pelajaran Nahu dan Saraf seperti Kitab Mutammimah, Matn al-Jurumiyyah, bait-bait Syair, menghafaz potongan ayat al-Quran dan hadith serta menghafaz pelajaran tauhid. Biasanya pelajar menghafaz pelajaran pada waktu malam secara bersendirian, kemudian mereka akan mengulang hafalan pada waktu pagi di hadapan Tuan Guru secara bergili-gilir. Pelajaran baru tidak akan diberi selagi tuan guru tidak berpuas hati dengan hafalan seseorang..
Kaedah hafalan amat dititikberatkan kerana amalan ini merupakan asas bagi memahami kitab-kitab Arab. Kaedah ini amat dietekankan pada peringkat permulaan pengajian :
“Tidak ada kerja praktikal yang dikenakan kepada pelajar-pelajar sebaliknya sistem ahafalan amat dititik beratkan. Kebanyakkan pelajar dapat memahami apa yang dihafazkan”

iii. Halaqah

Oleh kerana di pondok tidak terdapat kerusi, meja dan sebarang peralatan mengajar seperti papan hitam, kapur tulis, peta, gambarajah dan sebagainya, maka kaeadah Halaqah telah diamalkan. Menurut kaedah ini, Tuan Guru biasanya menyampaikan pelajaran dengan cara duduk bersila, manakala pelajar akan mengeliligginya dalam bentuk bulatan secara bertemu lutut antara satu sama lain.
Semasa menjalani pelajaran pelajar wanita dan lelaki akan diasingkan. Pelajar wanita akan ditempatkan disebalik tirai atau adangan.melalui kaedah ini, Tuan guru aka melihat ke kanan dan ke kiri untuk meneliti kehadiran pelajar kerana beliau dapat mengenali kesemua pelajarnya.

SISTEM MADRASAH

Kemunculan sekolah-sekolah Inggeris telah memberi kesan yang besar kepada masyarakat Islam di Tanah Melayu. Masyarakat Kelantan yang ketika itu terkenal kuat berpegang dengan ajaran Islam bimbang dan curiga dengan pertumbuhan sekolah tersebut. Mereka takut anak-anak mereka akan terrjebak dengan agama Kristian.
Perkembangan ini telah mempercepatkan lagi penubuhan madarasah. Selain itu, pelajar-pelajar yang belajar di Timur Tengah terpengaruh dengan gerakan Islah yang dipelopori oleh Syeikh Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh telah membawa perubahan besar terhadap sistem pendidikan.
Mereka telah tampil ke muka berpadu tenaga mendirikan madrasah untuk memberi pelajaran kepada anak melayu dengan lebih komprehensif dan sistematik. Di samping pelajaran agama, juga dimasukkan mata pelajaran umum dalam kurikulum pelajaran dengan tujuan untuk meninggikan prestasi akademik anak-anak Melayu selaras dengan peredaran zaman dan tuntutan masa.
Pada 17 Safar 1334 Hijrah bersamaan dengan 24 Disember 1915M Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan ditubuhkan. Penubuhan Majlis tersebut, telah memberi saham yang besar ke arah perkembangan pendidikan Islam di Kelantan.
Dengan daya usaha Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan maka pada tahun 1917, telah didirikan Madrasah Muhammadiyyah (Melayu). Madarasah tersebut merupakan madrasah pertama yang ditubuhkan di Kelantan. Ia ditempatkan di bangunan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.
Perkembangan sekolah-sekolah agama mencapai zaman keemasannya mulai tahun 50 an hingga 60 an. Kemuncaknya ialah tahun 60 an di mana pada tahun 1962, negeri Kelantan mempunyai sebanyak 189 buah sekolah arab / agama. Melihat kepada perkembangan ini, pihak MAIK telah menubuhkan Lembaga Peperiksaan dalam tahun 1967 bagi mengendali dan menyelaras peperiksaan sekolah Arab / Agama seluruh Negeri Kelantan.
Pada akhir tahun 1960 an, perkembangan sekolah agama ini mulai menurun. Sekolah-sekolah Kebangsaan ( rendah dan menengah ) mulai berkembang pesat dan menjadi persaingan kepada sekolah Arab / Agama. Difahamkan pada tahun 1968, bilangan sekolah Arab / Agama menurun kepada angka 158 buah dan pada tahun 1972, tinggal 89 buah sahaja iaitu 8 buah sekolah MAIK dan 81 buah sekolah bantuan rakyat.
Kemerosotan sekolah ini telah menyebabkan pihak kerajaan negeri terpaksa mengambil langkah-langkah tertentu dan dengan ini mulai 1 Julai 1874, kerajaan negeri telah mengambil alih semua sekolah Agama / Arab. Untuk itu, Jabatan Sekolah-sekolah Agama ( JASA ) ditubuhkan. Pada 11 Mac 1978 Yayasan Pelajaran Islam Negeri Kelantan ( YPINK ) pula ditubuhkan.
Kerajaan Negeri Kelantan pada waktu itu, sekali lagi mengubah enakmen penubuhan di mana pada 1 Mac 1983 melalui Enakmen bilangan 8 Tahun 1982, Yayasan Islam Kelantan ( YIK ) ditubuhkan bertujuan untuk memantapkan lagi pengurusan dan pengelolaan sekolah Arab / Agama.. Melalui enakmen ini, pihak YIK dapat bergerak luas samada dalam pengurusan pentadbiran di samping dapat membuat perancangan jangka panjang khususnya dalam bidang pendidikan dan sektor perniagaan dan pelaburan.
Yayasan Islam Kelantan ( YIK ) juga, turut mempunyai falsafah pendidikan yang tersendiri. Falsafah Pendidikan YIK ialah ; “ Pendidikan Islam sebagaimana yang diterangkan pengertian dalam istilah-istilah ta’lim, ta’dib, irsyad dan tadrib, adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan potensi individu muslim sebagai hamba Allah dan khalifahNya di bumi, secara menyeluruh dan bersepadu, untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, aqliah, aqidah, emosi dan jasmani, berdasarkan ajaran Islam. Usaha ini adalah bagi melahirkan muslim yang beriman, berakhlak mulia, berilmu pengetahuan, beramal soleh dan layak berkhidmat untuk membangun keluarga, masyarakat, negeri dan umat ”.
Hasil daripada falsafah ini, matlamat pendidikan Yayasan Islam Kelantan adalah ke arah melahirkan insan mukmin yang berilmu pengetahuan, beramal soleh dan layak berkhidmat untuk membangunkan masyarakat dan negara dengan mempunyai ciri-ciri berikut seperti beriman dan taat kepada Allah, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, beramal soleh, berkhidmat untuk masyarakat dan negara serta memiliki syakhsiah yang seimbang.
Daripada falsafah pendidikan tersebut, Yayasan Islam Kelantan telah diberi mandat dan tanggungjawab untuk mengelola, mengurus serta merancang perkembangan serta pembangunan seluruh sekolah Agama Kelantan. YIK telah berusaha memikul tanggungjawab ini agar ia setanding dengan sekolah Kementerian Pendidikan bukan sahaja dalam aspek pendidikan, tetapi turut diberi perhatian dalam aspek pembangunan insan, pembelajaran dan pengajaran serta kewangan.
Di samping itu, sistem pendidikan Sekolah Menengah Ugama ( Arab ) Yayasan Islam Kelantan adalah sistem yang mengadunkan antara pendidikan agama dan pelajaran Bahasa Arab dengan pelajaran umum yang dipelajari di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan. Bahasa pengantar yang digunakan bagi matapelajaran agama adalah Bahasa Arab, manakala bagi matapelajaran umum pula adalah Bahasa Melayu. Kurikulum agama dan bahasa Arab di sekolah-sekolah YIK digubal selaras dengan sukatan matapelajaran Maahad al-Bu’uth al-Islamiyyah al-Azhar, Mesir.
Dalam aspek peperiksaan pula, pelajar-pelajar diwajibkan mengambil dua jenis peperiksaan iaitu peperiksaan Agama / Arab yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan YIK seperti Penilaian Menengah Rendah Ugama ( PMRU ), Sijil Menengah Ugama ( SMU ) dan Sijil Tinggi Ugama ( STU ) serta peperiksaan yang dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia seperti Peperiksaan Menengah Rendah ( PMR ), Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia ( STPM ).
Dari sudut pengiktirafan sijil pula, pelajar-pelajar lulusan PMRU layak memasuki al-Saf al-Awwal al-Thanawi ( Tingkatan 3 ) Sekolah Menengah Ugama ( Arab ) YIK dan layak memohon masuk Maahad al-Bu’uth al-Azhar, Mesir dalam tingkatan yang sama. Pelajar-pelajar lulusan SMU layak memasuki al-Saff Thalith al-Thanawi ( Tingkatan 5 ) Sekolah Menengah Ugama ( Arab ) YIK ; atau memasuki Pusat Pengajian Pondok YIK; atau memasuki Maktab Perguruan Islam ( permohonan dengan SPM ); atau menjawat jawatan guru agama kelas fardhu ain di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan.
Pelajar-pelajar lulusan SPM layak untuk memasuki Pra- Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Islam Jordan; atau memasuki mana-mana pusat pengajian tinggi dalam negeri, dalam jurusan yang sesuai; atau memasuki tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kementerian Pendidikan.
Sementara itu, pelajar-pelajar lulusan STU pula, layak memasuki mana-mana kuliah di Universiti Islam Timur Tengah seperti Universiti al-Azhar, Universiti Islam Madinah, Universiti al-Imam Muhammad bin Saud al-Islamiyyah Riyadh, Universiti Kuwait dan lain-lain. Mereka juga layak memasuki universiti dalam negeri seperti Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ) dan Universiti Kebangsaan Malaysia atau menjawat jawatan guru agama di sekolah Yayasan Islam Kelantan ( YIK ).
Pelajar-pelajar lulusan STPM pula layak memasuki tahun pertama universiti-universiti tempatan atau memasuki maktab-maktab perguruan atau menjawat jawatan guru dan jawatan-jawatan lain yang sesuai.
MAAHAD TAHFIZ AL-QUR’AN

Pada 5 Januari 1992, Kerajaan Negeri Kelantan telah menubuhkan Maahad Tahfiz al-Quran, di Pulai Chondong, sebagai langkah permulaan dalam bidang penghafalan al-Qur’an dan mengembangkan ilmu yang berkaitan dengannya. Ekoran daripada inisiatif kerajaan negeri tersebut maka didapati institusi pengajian yang mengendalikan program tahfiz al-qur’an telah tumbuh bagai cendawan selepas hujan, di negeri ini.
Sehingga kini lebih daripada 20 buah sekolah tahfiz wujud di negeri Kelantan. Antaranya seperti Darul Quran wal-Qiraat di Kampong Repek, Pasir Mas; Maahad Tahfiz al-Quran di Slow Machang, Pasir Mas; Al-Imam International Institute di Kubang Kerian, Kota Bharu; Maahad Tahfiz Ummul Qura di Kampung Kolam, Kota Bharu, dan lain-lain. Pusat tahfiz boleh dikatakan ada di hampir semua jajahan di negeri Kelantan.
Kurikulum Maahad Tahfiz Pulai Chondong bukan sahaja diikuti oleh sekolah-sekolah tahfiz di negeri Kelantan, malah ada sekolah-sekolah tahfiz di negeri lain seperti Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan termasuk juga Brunei Darussalam, menerima¬pakai model kurikulum Maahad Tahfiz Kerajaan Negeri Kelantan.

INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI

Kerajaan Negeri juga telah mula mengembangkan bentuk pendidikan di negeri Kelantan ini khususnya dalam bidang pengajian tinggi pada 1 Julai 1994. Ini dapat dilihat dengan tertubuhnya Maahad Ad-Dakwah Wal-Imamah, yang kini telah ditukar namanya kepada Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra ( KIAS ), pada 1 Ogos 1999. KIAS ini ditubuhkan bagi mengeluarkan diploma dan ijazah kepada pelajar-pelajar sekolah Agama, dan untuk membolehkan mereka menyambung pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Sehingga kini KIAS mempunyai tiga jabatan, iaitu Jabatan Dakwah, Jabatan Usuluddin dan Jabatan Syariah.

YAYASAN KELANTAN DARUL NAIM ( YAKIN )

Yayasan Kelantan Darul Naim ( YAKIN ) merupakan sebuah agensi Kerajaan Negeri Kelantan yang dipertanggungjawabkan untuk membantu rakyat negeri Kelantan dan warganegara Malaysia yang bermastautin di Kelantan dalam bidang pendidikan. Bantuan ini dijalankan berdasarkan beberapa mekanisme berikut :

i. Menguruskan pemberian biasiswa, pinjaman dan lain-lain bantuan kewangan bagi maksud pendidikan.
ii. Mendapatkan peluang dan tempat pembelajaran yang lebih luas di pusat-pusat pengajian tinggi di dalam dan luar negeri.
iii. Mewujudkan kemudahan-kemudahan pembelajaran peringkat tinggi.
iv. Memberi bantuan kepada pertubuhan-pertubuhan yang berhubungkait dengan urusan pendidikan.

Oleh itu, jelaslah di sini bahawa Yayasan Kelantan Darul Naim ( YAKIN ) adalah lebih tertumpu kepada aspek penyediaan bantuan kepada rakyat negeri Kelantan dalam bidang pendidikan.
KEMAJUAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN ISLAM TAHUN 1990-2000

Sememangnya Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Parti Islam Malaysia dari tahun 1990 hingga tahun 2000 telah banyak membawa pembangunan dalam aspek pendidikan Islam.
Antara kemajuan pembangunan pendidikan Islam yang telah dilakukan oleh kerajaan Negeri Kelantan ialah :

g. Tumpuan Dan Perhatian Yang Mendalam Terhadap Perkembangan Pembangunan Pendidikan Islam.

Kerajaan Negeri telah menyumbangkan peruntukan kewangan yang besar untuk membangunkan sektor ini. Sebagai contoh, dalam langkah meningkatkan mutu sekolah Agama, Kerajaan Negeri telah memberi peruntukan yang besar kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK), berbanding dengan agensi-agensi kerajaan yang lain. Peruntukan ini ditambah dari setahun ke setahun. Pada tahun 1980 peruntukan Kerajaan Negeri kepada sekolah¬-sekolah Agama hanya sebanyak RM 1,768,557.14. Kemudian ia ditambah dari setahun ke setahun. Pada tahun 1989, peruntukan kepada YIK ialah sebanyak RM13,530,911.00. Apabila tampuk pemerintahan kerajaan negeri diterajui oleh PAS, perhatian kepada sekolah-sekolah Agama diberi lebih keutamaan. Peruntukannya ditambah lebih banyak lagi daripada sebelumnya. Pada tahun 1990, peruntukan yang diberikan kepada YIK ialah sebanyak RM16,230,152.50. Kemudian pada tahun 1995 ia ditambah kepada RM23,519.140.00; dan pada tahun 1999 peruntukan ini ditambah lagi kepada RM32,531,082.74.
Pada tahun 1999 juga, bagi meningkatkan dana kewangan untuk kemajuan pendidikan, Kerajaan Negeri telah melaksanakan satu dasar baru, iaitu ‘Ke Arah YIK Berdikari’. Hasilnya kerajaan negeri telah meluluskan pemberian tanah perladangan dan kawasan pembalakan untuk YIK. Tanah perladangan yang diperuntukkan kepada aru YIK ialah seluas 70,000 ekar. Sehingga September 2000 sebanyak 54,000 ekar telah diluluskan. Disamping itu Kerajaan Negeri juga telah meluluskan konsesi balak kepada YIK sebanyak 10,000 ekar, untuk selama 10 tahun bermula 1999, yang akan dikeluarkan secara catuan sebanyak 1,000 ekar setahun. Pada tahun 2000, kerajaan negeri juga telah meluluskan satu kawasan tanah yang dinamakan Mahang West, di Kok Lanas, seluas 78 ekar, untuk dibangunkan sebagai Taman Perumahan Yayasan Islam Kelantan.
Selain itu juga, Kerajaan Negeri meluluskan 10,000 ekar ladang hutan kepada YIK, bagi tujuan pelaburan jangka panjang. Oleh sebab itu pada tahun 2000 ini kerajaan telah mengurangkan peruntukan kewangan tahunan kepada YIK, dengan memberi sebanyak RM24.0 juta sahaja.

h. Peningkatan Mutu Pendidikan

Bermula pada tahun 1990, mutu pendidikan sekolah-sekolah Agama terus dipertingkatkan. Walaupun bilangan sekolah tidak bertambah, tetapi bilangan guru ditingkatkan sesuai dengan keperluan murid. Bilangan guru sekolah agama kerajaan negeri telah ditambah menjadikan 712 orang, dan bilangan murid pula bertambah kepada 15,752 orang. Manakala bilangan guru sekolah Bantuan Kerajaan pula dikurangkan kepada 953 orang. Namun begitu, bilangan muridnya bertambah kepada 18,996 or¬ang. Perkembangan ini adalah disebabkan masyarakat mulai yakin dan menaruh harapan tinggi kepada kerajaan yang baru memerintah untuk mempertingkatkan mutu pendidikan sekolah-¬sekolah Agama.
Sepanjang 10 tahun pemerintahan PAS di Kelantan didapati perkembangan sekolah-sekolah Agama sangat menggalakkan. Ini terbukti apabila berlakunya pertambahan bilangan pelajar yang begitu mendadak akhir-akhir ini. Sejak tahun 1997 hingga 1999, YIK terpaksa menolak lebih daripada 1,000 permohon untuk memasuki sekolah Agama, kerana tempat yang disediakan tidak mencukupi.
Bilangan sekolah Agama pada tahun 2000 ialah sebanyak 88 buah, iaitu 17 buah Sekolah Kerajaan dan 71 buah Sekolah Bantuan Kerajaan. Manakala bilangan guru pula bagi Sekolah Kerajaan seramai 899 orang, dan pelajar 19,515 orang. Bagi Sekolah Bantuan Kerajaan, bilangan guru seramai 1,146 orang, dan murid pula seramai 19,726 orang.

i. Mewujudkan Pelbagai Aliran Pendidikan Di Sekolah Menengah Agama

Pada tahun 1995 kerajaan negeri melalui Yayasan Islam Kelantan ( YIK ) telah mewujudkan aliran sains tulen di Sekolah Menengah Agama ( Arab ) Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan. Aliran pengajian sains ini ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang berminat untuk meneruskan pengajian dalam bidang sains dan perubatan. Kemudian, pada tahun 1998, aliran pengajian teknik dan perdagangan telah diwujudkan di sekolah-sekolah seperti SMU (A) Amir Indera Petra, Bachok, SMU (A) Arabiah Pasir Mas, dan SMU ( A ) Maahad Muhammadi Pasir Pekan. Kewujudan aliran pendidikan yang bercorak sains dan vokasional ini menjadikan pelajar-pelajar di sekolah Yayasan Islam Kelantan ( YIK ) lebih atau setanding dengan sekolah menengah harian di bawah kelolaan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Di samping itu, aliran pengajian ini mampu mendedahkan pelajar sekolah agama dengan perkembangan sains dan teknologi. Oleh itu, pelajar yang dilahirkan adalah mampu menguasai kedua-dua bidang ilmu iaitu ilmu agama dan sains. Penguasaan ini diharapkan akan menghasilkan ilmuan yang mampu kembali memberikan sumbangan kepada kemajuan dan pembangunan negeri.

j. Penaiktarafan Perjawatan Guru

Keperihatinan kerajaan negeri terhadap pendidikan sekolah-sekolah Agama diteruskan lagi dengan menaikkan taraf guru-guru YIK daripada guru sandaran atau berelaun kepada guru tetap dan berpencen. Bilangan guru tetap dan berpencen mengikut kategori DG3 pada tahun 1980 ialah seramai 22 orang, dan DG6 seramai 36 orang. Pada 1989 bilangan guru DG3 ialah seramai 28 orang, dan DG6 seramai 52 orang. Kemudian ia ditingkatkan bermula 1990 hingga 2000, bilangan DG3 ialah seramai 183 orang dan DG6 seramai 166 orang.
Dari tahun 1990 hingga 2000, pelarasan gaji guru-guru berelaun juga telah dibuat sebanyak dua kali. Perbezaan gaji ini boleh dilihat seperti berikut. Pada 1 Januari 1990 gaji bagi guru berelaun yang mempunyai Ijazah Kepujian dan Ijazah Am ialah sebanyak RM635.00 sebulan. Peringkat Diploma dan STU sebanyak RM420.00, dan peringkat SPM sebanyak RM360.00 sebulan. Skim gaji baru telah dinaikkan pada 1 Januari 1993. Bagi guru-guru berelaun yang mempunyai kelayakan Ijazah Kepujian, dinaikkan kepada RM920 - RM960. Yang mempunyai Ijazah Am dinaikkan kepada RM880 - RM920 - RM960. Kelayakan diploma dinaikan kepada RM475.00, manakala kelayakan STU dinaikkan kepada RM450 - RM475. Kelayakan SPM pula dinaikkan kepada RM430 - RM450 - RM475.
Skim gaji guru-guru sandaran adalah seperti yang diamalkan di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan, iaitu bagi yang mempunyai Ijazah Kepujian dibayar RM1313 x RM65 - RM1573. Kelayakan Ijazah Am dibayar RM1183 x RM65-RM1573. Kelayakan Diploma dibayar RM1000 x RM43 - RM1172, dan kelayakan SPM dibayar RM53O x RM33 - RM695.
Skim gaji baru telah dinaikkan sekali lagi pada 1 Januari 2000, berdasarkan pelarasan kenaikan elaun 10%. Walaupun jawatan guru berelaun tidak termasuk dalam pekeliling kenaikan gaji 10%, tetapi ia telah diluluskan oleh Lembaga YIK sebagaimana pekeliling perkhidmatan 13i1. 4 tahun 2000. ini merupakan kenaikan gaji kali kedua sepanjang 10 tahun pemerintahan kerajaan ini. Kadar elaun baru bagi guru-guru yang mempunyai kelayakan Ijazah Kepujian dinaikkan kepada RM1O12.00; kelayakan Ijazah Am dinaikkan kepada RM968.00; kelayakan Diploma dinaikkan kepada RM522.50; kelayakan STU dinaikkan kepada RM495.00; dan kelayakan SPM dinaikkan kepada RM473.00.

k. Pembangunan Pengajian Pondok.
Kerajaan Negeri juga memberi perhatian kepada pembangunan pengajian pondok yang merupakan institusi pengajian Islam yang tertua di Kelantan. Pembangunan pengajian tradisional Islam ini dapat dilihat dengan penubuhan Pusat Pengajian Pondok, di Kandis, Bachok. Pusat ini merupakan satu¬-satunya sekolah yang menggunakan sistem pengajian pondok, yang dapat menyambung pelajaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir. Pusat pengajian pondok ini telah mendapat pengiktirafan daripada Al-Azhar bagi membolehkan pelajar-pelajarnya menyambung pelajaran di Tahun 3 kuliah Dirasat Islamiah.’
Pada 22 April 1995, kerajaan telah membuat perancangan untuk meningkatkan perkembangan pondok, dengan memperbadankan pondok-pondok di bawah Pusat Pembangunan Pondok Berhad. Lantaran itu kerajaan telah meluluskan satu kawasan konsesi balak untuk menjadi sumber pendapatan perbadanan pondok tersebut, yang dapat menghasilkan kewangan sebanyak RM8 juta untuk digunakan bagi pembangunan pondok-pondok di negeri Kelantan.
Bagi memastikan lepasan daripada pondok ini dapat meneruskan pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi, Pusat Pembangunan Pondok Berhad pada 17 Julai 1997 telah menubuhkan Kolej Pondok Darulnaim, di Pasir Tumboh, dengan kos awal sebanyak RM14O,000.
Tujuan utama penubuhan Kolej Pondok Darulnaim ini adalah untuk menjadikannya sebagai sebuah pusat pengajian lanjutan bagi lepasan pondok dan juga terbuka kepada lepasan Sijil Tinggi Ugama ( STU ). Kurikulum yang dipakai ialah kurikulum bersepadu antara pengajian tradisional yang biasa diamalkan di pondok-pondok disamping pengajian manhaj yang biasa diamalkan di pusat-pusat pengajian tinggi. Tempoh pengajiannya ialah selama empat tahun.

l. Pembangunan Taman Pendidikan Kanak-Kanak.

Kerajaan negeri juga turut memberi tumpuan kepada perkembangan sekolah tadika Islam. Pada 20 Februari 2000, sebuah lagi sekolah tadika Islam dibuka, di Pasir Mas, dengan nama Tadika Islam Tengku Anis 3. Dengan penubuhan ini, bilangan tadika Islam telah bertambah menjadi tiga buah, termasuk Tadika Islam Tengku Anis 1 dan Tadika Islam Tengku Anis 2 yang berada di Kota Bharu. Pengurusan Tadika ini diletakkan di bawah pengelolaan Yayasan Islam Kelantan.

KESIMPULAN

Sememangnya tidak dapat dinafikan lagi bahawa sistem pondok yang ada di Kelantan telah memberi input yang baik dan banyak di kalangan masyarakat Kelantan sehingga dapat melahirkan generasi ulama terkemudian. Dengan kelahiran generasi ulama terkemudian ini maka lahirlah pula pelbagai intitusi lain seperti Maahad Tahfiz, Sekolah-sekolah Agama dan Pusat Asuhan Kanak-kanak Islam. perkembangan agama islam di Kelantan sekarang ini telah mencapai status yang memberangsangkan. Malahan sekarang ini Kota Bahru merupakan sebuah bandaraya Islam terawal di Malaysia. Ianya telah dirintis oleh generasi ulama dalam sistem pondok yang silam.

BIBLIOGRAFI

Abd Rahman al-Ahmadi (Drs) (1966), Pengantar Sastera. Kota Bharu.

Abdul Jalil Hassan (Dr.) (1973), Falsafah dan Pengetahuan Islam. Kuala Lumpur.

Abdullah al-Qari (1967), Sejarah Hidup Tok Kenali. Kota Bharu.

Abdullah Alwi Hj. Hassan (1980), The Development Of Islamic Education In Kelantan. Kuala Lumpur ; Persatuan Sejarah Malaysia.

Abdullah Ishak (1995), Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia. Kuala Lumpur ; Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Abdullah Jusuh (1990), Pengenalan Tamdun Islam Di Malaysia. Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Al-Ghazali, Abu Hamid (t.t.), Ihya’ Ulum al-Din, Juzuk 1. Mesir ; Matba’ah Mustafa al-Babi al-Halabi.

Dasar Membangun Bersama Islam Capai Matlamat, Kota Bharu, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, 2000.

Khoo Kay Kim (1982), Beberapa Aspek Warisan Kelantan. Kuala Lumpur, United Selangor Press Sdn.Bhd.

Mansor Daud (2000), Keutamaan Kepada Pendidikan Islam dalam Sepuluh Tahun Membangun Bersama Islam : Kelantan di Bawah Kepimpinan Ulamak. Kota Bharu, Pusat Kajian Strategik .

Mohd Hussein Khalei (1970), Kelantan Dari Zaman Ke Zaman. Kota Bharu

Mohd Mansur b. Daud, Kertas Kerja bertajuk : Halatuju dan Masa Depan Sekolah-Sekolah Agama di Malaysia : Keseragaman Kurikulum Bersepadu Yayasan Islam Kelantan, dibentangkan dalam Seminar Pengurusan Sekolah anjuran Sekretariat, Majlis Pendidikan PAS Peringkat Kebangsaan ( MPPPK ), 1 Julai 2000 di Kem Bina Semangat, Kemaman Terengganu.

Mohd Zain Salleh (1985), Fokus Negeri Sembilan. Kota Bharu ; Pejabat SUK.

Muhammad Uthman El-Muhammady, “ Peranan Intelektual ( Ulama ) Islam di Malaysia Dalam Pembentukan Kebudayaan ”, Majalah Dewan Bahasa, Oktober, 1973.

Nik Abdul Aziz bin Hj, Nik Hassan (1983), Islam Di Kelantan, Kuala Lumpur, Persatuan Sejarah Malaysia.

Nik Mastura Hj. Omar (1969), Struktur Pentadbiran Agama Islam Di Negeri Kelantan. Kuala Lumpur ; Universiti Malaya.

Saad Syukri Haji Muda (1971), Detik-Detik Sejarah Kelantan, Kelantan ; Pustaka Aman Press.

Saad Syukri (1971), Detik-Detik Sejarah Kelantan, Kota Bharu.

Shafie Abu Bakar (1976), ‘Institusi Syeikh Ab. Malik bin Abdullah’,Tesis Sarjana Persuratan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Perubahan-Perubahan di Kelantan di Bawah Kepimpinan Ulama’, Kota Bharu, Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, 1999.

Wan Mohd Ali dan Uthman El-Muhammady (1977), Islam dan Modenisme. Kuala Lumpur ; Biro Pelajaran dan Penyelidikan ABIM.

William R.Roff (1974), Kelantan, Religion, Society and Politics In A Malay State, Kuala Lumpur.

1 ulasan:

  1. Harrah's Cherokee Casino Resort - Jackson Hole - KTH
    Harrah's Cherokee Casino Resort is a Native American casino and hotel located 30 minutes south 거제 출장마사지 of the Great 진주 출장마사지 Smoky Mountains 논산 출장안마 in 구미 출장안마 Cherokee, North 제주도 출장안마 Carolina.

    BalasPadam